Iran beri amaran Israel bakal berdepan ‘hari-hari kegelapan’

Iran beri amaran Israel bakal berdepan ‘hari-hari kegelapan’

TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran bahawa Israel bakal menghadapi ‘hari-hari kegelapan’ ketika konflik ketenteraan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat terus memuncak sejak akhir Februari lalu.

Dalam kenyataan terbaharu, IRGC memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan gelombang ke-48 Operasi Janji Benar 4, iaitu siri serangan balas terhadap sasaran Israel dan Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan yang dilancarkan terhadap Iran sebelum ini.

Menurut kenyataan tersebut, sebahagian serangan dalam gelombang terbaharu itu dilakukan dengan kerjasama kumpulan Hizbullah dari Lubnan, yang menyasarkan beberapa kawasan di utara wilayah Israel termasuk Galilee, Golan dan bandar Haifa.

Beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau Asia Barat turut menjadi sasaran serangan.

IRGC berkata operasi berkenaan melibatkan penggunaan peluru berpandu Kheibar Shekan dan Qadr, selain dron serangan yang dilancarkan ke arah sasaran strategik.

Dalam perkembangan sama, penduduk di beberapa kawasan Israel dilaporkan menerima mesej amaran dalam bahasa Ibrani yang dihantar oleh IRGC melalui telefon bimbit.

“Dengan izin Tuhan, kami akan membawa ke atas kamu hari-hari kegelapan,” menurut mesej tersebut.

IRGC turut menyatakan bahawa situasi di Israel kini dipenuhi bunyi siren amaran serangan udara dengan orang awam bergegas memasuki tempat perlindungan setiap kali peluru berpandu dilancarkan.

Sebelum ini, pasukan itu turut mengumumkan pelaksanaan gelombang ke-47 dan ke-46 operasi sama, yang menyasarkan beberapa kawasan penting di Israel termasuk Gurun Negev, bandar Be’er Sheva, Lod serta kawasan sekitar pangkalan udara utama negara itu.

Konflik semasa tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari, yang menurut pihak berkuasa Teheran telah mengorbankan lebih 1,000 orang di negara itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan siri serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta sasaran yang berkaitan dengan kepentingan Amerika Syarikat di rantau Asia Barat.

Ketegangan yang berterusan itu meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik lebih luas di rantau tersebut, ketika kedua-dua pihak terus melancarkan serangan balas dalam perang yang kini memasuki minggu ketiga.  – Agensi

Ringkasan AI

  • Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran kepada Israel mengenai hari-hari kegelapan akibat konflik ketenteraan yang meningkat
  • IRGC telah melancarkan Operasi Janji Benar 4 yang menyasarkan Israel dan Amerika Syarikat sebagai balasan terhadap serangan terhadap Iran
  • Serangan tersebut melibatkan kerjasama dengan Hizbullah dan menyasarkan kawasan utara Israel serta pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat
  • Penggunaan peluru berpandu dan dron serangan termasuk dalam operasi terbaharu ini
  • Penduduk Israel menerima mesej amaran dari IRGC dan situasi di Israel dipenuhi dengan bunyi siren amaran serangan udara
Scroll to Top