Iga dedah hampir umum sendiri mengenai kes doping

Iga dedah hampir umum sendiri mengenai kes doping

Melbourne: Iga Swiatek mendedahkan bahawa dia pernah mempertimbangkan untuk berkongsi keputusan ujian doping positifnya kepada umum sementara menunggu keputusan kesnya, namun akhirnya memutuskan tidak berbuat demikian kerana merasakan lebih mudah menjelaskan situasi itu selepas pihak berkuasa membuat keputusan.

Pemain nombor dua dunia itu disahkan positif menggunakan bahan terlarang trimetazidine pada Ogos lalu dan digantung sementara pada bulan berikutnya.

Ketiadaannya dalam beberapa kejohanan di Asia sebelum ini dijelaskan sebagai masalah peribadi dan keletihan.

Juara Grand Slam lima kali itu berjaya membuat rayuan terhadap penggantungan sementara dan kembali beraksi pada Oktober selepas Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) menerima penjelasan bahawa ujian positif itu berpunca daripada pencemaran ubat tidur melatonin yang digunakannya.

Pemain dari Poland itu menerima hukuman penggantungan selama satu bulan, yang berakhir pada 4 Disember selepas mengambil kira tempoh yang dijalani.

“Saya rasa lebih mudah untuk menceritakan keseluruhan kisah apabila ia lengkap,” kata Iga kepada media Poland di Terbuka Australia.

“Untuk tempoh yang lama ketika saya berada di Warsaw dan tidak dapat bermain, saya tertanya-tanya sama ada lebih baik untuk memberitahu secara umum apa yang berlaku.

“Tetapi hakikatnya, tanpa sumber dan tanpa keputusan daripada ITIA pada waktu itu, kami hanya akan memberikan maklumat separuh bahawa saya mempunyai kes doping, dan itu akan menyebabkan lebih banyak tekanan serta masalah. Orang ramai pasti akan menilai saya secara negatif.

“Jadi saya rasa, sistem yang ada sekarang, yang memberi peluang untuk mencari jawapan dan menyelesaikan situasi sebelum diumumkan kepada umum, adalah munasabah. Maklumat ini akan tetap keluar secara umum (jika kes itu mengambil masa lebih lama).”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top