Ikan belukang Abdul Razak bernilai RM20,000

Ikan belukang Abdul Razak bernilai RM20,000

PONTIAN: Tuah nyata menyebelahi seorang pemandu apabila membawa pulang hadiah utama Cabaran Memancing Rambah berupa wang tunai RM20,000 sempena Festival D’ Kukup di pantai Rambah, di sini.

Abdul Razak Abdullah, 45, yang tinggal di Pasir Gudang menewaskan 1,200 pemancing lain apabila berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.705 kilogram pada pukul 10.44 pagi setelah menanti dengan sabar dalam keadaan hujan lebat, namun tetap tidak berganjak dari lokasi pertandingan.

Dengan menggunakan umpan udang, kemenangan itu adalah yang pertama diraihnya walaupun sering menyertai pertandingan sebelum ini.

“Saya pertama kali menyertai pertandingan di sini dan saya ditemani isteri, Asih Trisumantri kali ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Azmee Awang.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan.

Abdul Razak yang berasal dari Sarawak mengakui tidak mempunyai sebarang petua bagi menewaskan ikan belukang yang membawa tuah kepadanya.

“Tiada sebarang rahsia dan petua, hanya berdoa seperti orang lain dan memang telah rezeki saya yang datang ke sini selepas solat subuh,” katanya sambil memberitahu akan menggunakan wang kemenangan itu untuk membawa isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung di Sarawak.

Malah, dia mengakui mereka sekeluarga sudah tidak pulang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

Walau bagaimanapun, belum ada tarikh yang ditentukan dan akan memohon cuti dan berkemungkinan pada cuti persekolahan pada hujung tahun ini.

Festival D’ Kukup yang selama tiga hari bermula Jumaat lalu dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk pertandingan memasak, menganyam ketupat, Mobile Legend, jualan gerai dan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta. – UTUSAN