Ikmal mahu jadi yang lebih baik

Ikmal mahu jadi yang lebih baik

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Ikmal Amry, 31, menyifatkan tanggungjawab sebagai suami dan bapa yang dipikulnya adalah ‘amanah’ berat kerana mempunyai keluarga yang bergantung dengannya.

Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali berkata, pelbagai pahit dan manis dilaluinya dalam empat tahun usia perkahwinan yang membuatkan dia bertekad ingin memberi terbaik untuk isteri dan anak-anak.

“Macam-macam yang dah saya lalui dan saya tidak mahu benda sama berulang kembali. Apapun, saya rasa semua ini adalah perkara normal yang dirasai semua orang dalam rumah tangga. Ada naik dan turunnya.

“Tapi, saya letakkan dalam diri saya mahu menjadi lebih baik pada tahun ini. Cuma, apa yang saya kena baiki itu, biar saya seorang saja yang tahu dan mana yang buruk memang saya nak tinggalkan.

“Saya pun bukan daripada keluarga anak orang senang. Jadi, saya juga sudah terbiasa bekerja untuk menyara keluarga di kampung di Negeri Sembilan dan sudah memikul tanggungjawab berganda sejak dari dulu.

“Kini, harapan saya hanya mahu memberi keluarga saya makan yang sedap-sedap, rumah cantik dan semua lelaki pasti ada impian nak bawa ibu bapa pergi kerjakan umrah dan haji,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ikmal, dia bagaimanapun masih belum berpeluang membawa ibu bapanya dan keluarga ke Tanah Suci Makkah, namun percaya impian itu akan jadi kenyataan apabila sampai waktunya.

Pada 19 Disember 2020, Ikmal bertemu jodoh dengan wanita pilihan, Najla Shamsul Kamarr dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Cailie, 3 dan Gibran kini berusia setahun empat bulan.

Bakal muncul dengan filem terbaharu, Game Of Life arahan Syafiq Yusof di pawagam pada 23 Januari ini, Ikmal berkata, dia mendapat kepercayaan melakonkan watak ‘villain’ atau antagonis.

“Saya teruja dengan watak antagonis dalam filem berkisarkan ‘kaki game’ yang mengangkat perjalanan kehidupan Soloz yang saya percaya amat dikenali oleh generasi muda masa kini.

“Apatah lagi, watak saya sebagai Irfan ini diwujudkan oleh Syafiq yang menjadi ‘musuh’ Soloz dalam pertandingan Mobile Legend. Ia satu cabaran buat saya sebab selama ini banyak berlakon jadi baik saja,” katanya.

Ujar Ikmal, dia juga sudah bersedia untuk terima sebarang komen penonton terhadap watak Irfan itu yang bakal dibenci kerana sudah membuat sebaik mungkin untuk karakter berkenaan.

Game Of Life turut dibintangi Hun Haqeem, Jaa Suzuran, Syafie Naswip, Imran Aqil, Nia Atasha dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top