am@hmetro.com.my
Kulim: Kerajaan negeri berharap agensi keselamatan mengambil tindakan tegas dalam memastikan perairan sekitar Langkawi tidak lagi dibolosi bot membawa pendatang asing tanpa izin (Pati).
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu perlu diambil serius agensi bertanggungjawab dalam menjaga sempadan perairan negara bagi mengelak kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, berulang.
Menurutnya, pihaknya berasa dukacita apabila perairan negara yang sekian lama tidak dicerobohi secara tiba-tiba kumpulan pelarian terbabit mendarat di Langkawi.
“Saya harap tiada agensi yang membiarkan perairan kita ‘bocor’ (dibolosi), kalau tak bocor macam mana boleh mendarat, makna ada kebocoran. Saya harap hal ini diambil serius agensi berkaitan.
“Langkawi ini jadi kerap sangat (diceroboh), walaupun lama juga tak ada pendaratan, sekarang ada pula. Saya harap tak ada kebocoran lagi, kena ambil tindakan tegas untuk mengelak hal itu berlaku lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Pelancaran Kulim Smart Pay, di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini, agensi keselamatan mengadakan Op Benteng membabitkan APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Cuma kita tiada agensi yang berkaitan di peringkat negeri. Kotak (kuasa) itu kita tak ada, jadi yang itu semua agensi Kerajaan Persekutuan urus, maka mereka kena ambil perhatian.
“Sebagai manusia aspek kemanusian tetap perlu dipelihara dan saya berterima kasih kepada agensi berkaitan kerana membantu Pati yang keletihan dan kelaparan sebelum diusir,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan bot membawa 196 etnik Rohingya mendarat di pantai Teluk Yu, Langkawi pada 3.25 pagi sebelum semua pelarian terbabit ditahan pihak berkuasa.
Semalam, dua lagi bot membawa kira-kira 300 Pati dari Myanmar diusir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berjaya mengesan kedudukan mereka kira-kira dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

