Misteri kehilangan di Annapurna Base Camp terjawab, pengguna media sosial tampil sahkan keadaan selamat

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kebimbangan seorang kakak terhadap keberadaan dan keselamatan adiknya yang menyertai perjalanan ke Annapurna Base Camp, Nepal, terjawab apabila seorang pengguna media sosial yang berada di kawasan trek berkenaan memaklumkan keadaan di situ selamat.

Pengguna Threads, Iffarina sebelum ini memohon orang ramai mendoakan keselamatan adiknya yang masih belum dapat dihubungi, selain memaklumkan sudah menghubungi Kedutaan Malaysia di Nepal bagi mendapatkan kepastian.

Katanya, nama adiknya bagaimanapun tidak tersenarai sebagai individu hilang, namun dia masih gagal dihubungi dipercayai disebabkan masalah rangkaian komunikasi di kawasan itu.

Kebimbangan itu kemudian sedikit reda selepas seorang pengguna Threads, Muhammad Hafizal Hamidon, yang juga pemandu pelancong bebas, mendakwa berada di kawasan trek Annapurna Base Camp, tampil memberi maklum balas.

“Saya di kawasan trek Annapurna Base Camp sekarang. Okey saja di sini. Mungkin dia tak ada Internet,” katanya.

Perkongsian itu memberi sedikit kelegaan kepada Iffarina dan keluarga, meskipun keadaan adiknya masih belum dapat disahkan secara langsung sehingga komunikasi dapat diwujudkan semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top