lizamridzuan@hmetro.com.my
Bukan sahaja ikonik malah tampil dengan elemen prestasi, UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan barisan baharu Gazoo Racing (GR) dengan pelancaran dua model baharu iaitu GR Supra Track Edition dan GR Yaris varian automatik untuk pasaran tempatan.
Menerusi GR Supra Track Edition model ini diletakkan sebagai model flagship dalam rangkaian GR pada harga RM698,000 dengan peningkatan menyeluruh yang memfokuskan pada prestasi litar.
Ia merangkumi ubah suai pada casis, pengendalian dan aerodinamik, direka untuk memberi pengalaman pemanduan yang lebih tajam dan masa pusingan bertambah pantas buat peminat sukan permotoran.
Di bawah bonet, GR Supra Track Edition dikuasakan oleh enjin 3.0-liter sebaris 6-silinder pengecas turbo yang menghasilkan 388PS dan tork 500 Nm.
Enjin ini dipadankan sama ada dengan transmisi manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan dengan paddle shifters.
Untuk varian automatik ia mencatat pecutan 0 hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam 4.1 saat, manakala versi manual mencapainya dalam 4.3 saat.
Selain kuasa enjin, GR Supra Track Edition juga mendapat talaan semula pada Adaptive Variable Suspension, sistem stereng elektronik (Electric Power Steering) dan kawalan Limited Slip Differential untuk respons dan kestabilan lebih baik sewaktu membelok pada kelajuan tinggi.
Ia turut dilengkapi cakera brek hadapan bersaiz 374 milimeter (mm) dengan angkup Brembo 4-piston untuk prestasi membrek yang lebih mantap.
Daripada sudut aerodinamik, model ini hadir dengan expanded tire spats, aero flaps, dan spoiler ducktail gentian karbon bagi meningkatkan downforce.
Rim aloi forged matte hitam 19-inci bersama tayar Michelin Pilot Super Sport juga menyumbang kepada pengendalian yang lebih responsif.
Untuk ruang kabin GR Supra Track Edition, ia dilengkapi kemasan Alcantara dan kulit berwarna hitam, sulaman logo GR, tali pinggang kaledar merah, dan tuil gear dengan lingkaran merah untuk varian manual.
Model ini juga dengan sistem hiburan JBL HiFi 12 pembesar suara, serta paparan HUD (Head-Up Display) turut ditawarkan, selain ciri keselamatan termasuk Amaran Perlanggaran Awal, Amaran Keluar Lorong, Kawalan Pelayaran Adaptif, Paparan Titik Buta dan sokongan Brek Kecemasan.
Sebuah lagi model iaitu GR Yaris varian automatik juga diperkenalkan yang mana sebelum ini hanya ditawarkan dalam versi manual.
Model itu kini dilengkapi transmisi automatik 8-kelajuan Gazoo Racing Direct, yang dibangunkan dengan input daripada pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team dan ia menawarkan penukaran gear yang cepat dan tepat, mengikut ketetapan pemandu.
GR Yaris masih menggunakan enjin 3-silinder pengecas turbo menghasilkan kuasa 300PS dan tork 400 Nm dan varian automatik mampu mencatat pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat.
Untuk memastikan prestasi stabil dalam cuaca panas, varian automatik dilengkapi dengan cooling package termasuk sub radiator, intercooler spray, dan ATF cooler.
Penambahan terbaru pada GR Yaris varian automatik ialah sistem Launch Control, yang mengoptimumkan tork dan cengkaman untuk pecutan dari kedudukan statik.
Model ini juga dilengkapi dengan Toyota Safety Sense 3.0 termasuk sistem Pra-Perlanggaran dan Kawalan Pelayaran Radar yang dipertingkatkan, Bantuan Pengesan Lorong dan mod Expert dan GR Yaris varian automatik ditawarkan pada harga RM325,600.
© New Straits Times Press (M) Bhd