sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pemain baharu Terengganu FC (TFC), Danial Amier Norhisham berikrar untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan skuad itu selepas sah menjadi keluarga besar pasukan berkenaan.
Pemain berusia 29 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu juga berazam untuk bekerja lebih keras lagi dalam misi membantu skuad baharunya itu mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan.
Pada masa sama bekas ‘arkitek’ pasukan Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berharap dapat menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain.
“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan, saya bertekad untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan serta bekerja keras dalam setiap sesi latihan dan perlawanan.
“Pada masa sama saya juga berharap dapat menyesuaikan diri dengan segera bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi dan memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan sepanjang musim 2026/2027.
“Sokongan padu daripada semua pihak termasuk peminat juga amat ditagih bagi memastikan misi pasukan berjaya dicapai,” ujar bekas pemain kebangsaan itu.
Terdahulu TFC mengumumkan kehadiran pemain tengah itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




