Iktiraf pemimpin muda dalam PRN 

Iktiraf pemimpin muda dalam PRN 

PETALING JAYA: Bakat pemimpin muda perlu diiktiraf pada pilihan raya negeri (PRN) di enam  buah negeri akan datang. 

Pengarah Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang, Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri berkata, pihaknya menyokong penuh supaya lebih ramai lagi calon-calon muda perlu diberi ruang dan peluang untuk bertanding dalam PRN kali ini. 

Katanya, calon-calon muda ini perlu diketengahkan supaya dapat membawa idea dan nafas baharu dalam mencorak masa hadapan negara.

“Bakat pemimpin muda perlu diiktiraf bukan sahaja sebagai pemimpin pada masa hadapan, tetapi juga pemimpin hari ini melalui keterbukaan mereka dalam menyertai mana-mana parti.

“Pelaksanaan Undi18 juga semestinya akan menjadi pemangkin keberkesanan pimpinan negara pada akan datang. 

“Golongan muda merupakan ejen yang bakal menentukan pentadbiran negara pada masa hadapan sekali gus mencorakkan perubahan pimpinan yang lebih progresif,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Amir Asyraf berkata, Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu anak muda menilai pemimpin yang akan dipilih pada pilihan raya terutamanya pada PRN di enam negeri yang akan datang tidak lama lagi.

Katanya, ini kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilihat paling mencabar selepas negara dilanda dengan pelbagai konflik selepas PRU14 kini telah membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan.

“Hasil empat gabungan politik yang memeterai perjanjian bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15. Untuk menjamin kesejahteraan, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara itu terletak kepada barisan kepemimpinan yang menerajui pentadbiran negara tersebut.

“Segala dasar dan polisi yang akan diwujudkan nanti juga bergantung kepada kemampuan dan kebijaksanaan para pemimpin yang memerintah,” katanya. 

Oleh itu, katanya, rakyat perlu memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat, bukan hanya retorik semata-mata.

“Pilih kerajaan yang mampu menunaikan perkara dalam manifesto yang diperjuangkan dan melaksanakan segala janji-janji mereka kepada rakyat.

“Pentingnya untuk rakyat pastikan calon-calon yang akan dipilih pada PRN nanti adalah individu-individu yang bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak untuk melaksanakan mandat rakyat nanti,” katanya. -UTUSAN