Imam Besar Masjid Putra Putrajaya mohon maaf, ajak para jemaah imarahkan masjid

Sebelum ini tular di media sosial apabila Imam Besar Masjid Putra Putrajaya,  Ustaz Ikmal Zaidi Hashim menyifatkan perbuatan merakam dan menyebarkan video yang mendakwa seorang kenamaan (VIP) mendapatkan layanan istimewa adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Menerusi video yang dimuat naik Ustaz Ikmal di media sosial, beliau berkata, tindakan itu sengaja untuk memburukan seseorang serta mempunyai agenda tertentu untuk mencari salah orang lain.

Susulan daripada itu, Imam Besar Masjid Putra Putrajaya tersebut teruk dihentam netizen di media sosial  selepas memaklumkan tidak meredai mereka yang menularkan video tempoh hari.

Sedar dengan ketidaksesuaian kenyataan yang dikeluarkan, beliau telah memohon maaf secara terbuka di laman Facebooknya dengan menganggap apa yang diperkatakan tempoh hari agak keterlaluan.

Selain itu, beliau bagi pihak pengurusan Masjid Putra Putrajaya juga berjanji dan berazam akan memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) berhubung solat secara berjemaah di masjid.

Jadi, beliau berharap agar para jemaah masjid tersebut terus bersama-sama mengimarahkan rumah Allah itu dengan melakukan aktiviti seperti solat Jumaat, solat Fardu serta program-program yang dianjurkan.

Permohonan maaf beliau juga telah dikongsikan di Facebook rasmi Masjid Putra Putrajaya dan mendapat respon positif daripada warganet.

Mereka juga berharap agar isu ini dapat diselesaikan dan para jemaah sama-sama dapat beribadah ke masjid berkenaan dengan mengikuti SOP yang betul.

Sumber: Facebook Ikmal Zaidi Hashim, Masjid Putra Putrajaya

Leave a Comment