TEHERAN – Imej satelit baharu menunjukkan kerosakan terhadap aset ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat akibat serangan Iran dipercayai jauh lebih besar berbanding yang dilaporkan sebelum ini.
Laporan siasatan Washington Post mendedahkan sekurang-kurangnya 228 struktur atau peralatan di pangkalan tentera AS di rantau itu rosak atau musnah sejak perang tercetus pada penghujung Februari lalu.
Antara sasaran yang terjejas termasuk hangar pesawat, berek tentera, depot bahan api, pesawat serta sistem radar, komunikasi dan pertahanan udara utama.
Menurut laporan itu, skala kerosakan sebenar dipercayai jauh lebih besar daripada pengakuan rasmi kerajaan AS sebelum ini.
Serangan Iran dilaporkan mengorbankan tujuh anggota tentera AS di Asia Barat, termasuk enam di Kuwait dan seorang di Arab Saudi.
Lebih 400 anggota tentera turut dilaporkan cedera.
Iran melancarkan beberapa siri serangan ke atas kepentingan AS di rantau Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas negara itu.
Kumpulan hak asasi berpangkalan di AS, Hrana mendakwa lebih 3,500 orang terbunuh di Iran sejak konflik bermula.
Serangan Iran kebanyakannya menyasarkan aset ketenteraan AS di negara Teluk.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan pihak berkaitan Iran melancarkan serangan ke wilayah negara itu untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa menerusi peluru berpandu dan dron.
Menurut Abu Dhabi, salah satu serangan itu menyebabkan sebuah kilang penapisan minyak di Fujairah terbakar dan mencederakan tiga warga India.
Pada Isnin, Washington mula mengiringi kapal dagang melalui Selat Hormuz.
Komando Pusat AS (Centcom) berkata, operasi dikenali sebagai ‘Project Freedom’ itu disokong lebih 100 pesawat dan kira-kira 15,000 anggota.
Bagaimanapun, operasi tersebut dihentikan sehari kemudian selepas Presiden Donald Trump mengumumkan usaha mencapai persetujuan damai dengan Iran bagi menamatkan perang.
Iran sebelum ini menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel.
Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dan Oman merupakan laluan strategik tenaga dunia dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah serta gas asli cecair global melalui kawasan itu.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata, penutupan laluan tersebut menyebabkan kehilangan bekalan terbesar dalam sejarah melibatkan lebih 10 juta tong minyak sehari serta pengurangan 20 peratus bekalan gas asli cecair dunia. – Agensi



