harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan kedai mesin judi dikendalikan seorang wanita warga asing di sebuah ‘koloni’ pendatang asing tanpa izin (Pati) sekitar Pusat Hentian Kajang, di sini, semalam.
Rumah kedai terbabit antara kira-kira 540 premis yang diperiksa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi membanteras lambakan Pati di kawasan itu.
Premis itu terletak di tingkat satu salah satu blok di sini, dan dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan di luar premis.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati, ia dijaga oleh seorang wanita warga asing. Bagaimanapun, tiada pelanggan berada di dalam premis terbabit ketika serbuan dijalankan.
“Saya baru kerja tiga bulan di sini, gaji dalam RM1,800 sebulan. Di sini pelanggan semua orang asing, Bangladesh ada, Indonesia, ramai warga asinglah.
“Kedai buka 10 pagi, hari-hari buka. CCTV ini untuk tengok pelanggan sahaja nampak sampai tangga sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesahkan kewujudan aktiviti perjudian berkenaan.
Menurutnya, seramai 1,035 individu diperiksa menerusi operasi bermula 7.30 malam itu membabitkan 185 pegawai dan anggota Imigresen Putrajaya serta agensi-agensi sahabat.
Katanya, daripada jumlah itu, 785 individu diperiksa adalah warga asing pelbagai warganegara, manakala baki 250 orang adalah warga tempatan.
“288 warga asing dikesan melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang terdiri daripada lelaki daripada Bangladesh seramai 98 orang, Indonesia (19), Myanmar (49), Pakistan (enam), Nepal (41), India (22), Sri Lanka (11), Sudan (dua).
“Manakala wanita Bangladesh seorang, Indonesia (30), Myanmar (10), dan Nepal (lima). Kesemua tangkapan berusia 18 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata, kawasan itu pernah diserbu sebelum ini dan menegaskan pemantauan dan operasi penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan dari masa ke semasa.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, rata-rata Pati terbabit bekerja sebagai pembantu restoran, kedai jahit, pekerja pasar raya di premis perniagaan berhampiran.
Menurutnya, operasi serbuan membabitkan pemeriksaan ke atas enam blok yang mempunyai 90 premis di setiap blok, terdiri daripada pelbagai jenis premis antaranya restoran, kedai runcit dan kediaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




