Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen sasar warga asing gagal saringan FOMEMA

Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen sasar warga asing gagal saringan FOMEMA

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen yang mensasarkan warga asing yang gagal melepasi pemeriksaan kesihatan (FOMEMA) dalam satu operasi khas di sekitar ibu negara, di sini, semalam.

Operasi yang bermula pada jam 12.35 tengah hari itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di dua lokasi berasingan sekitar Jalan Chemur dan Jalan Ipoh.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai enam lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 23 hingga 45 tahun ditahan.

“Pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Rayhan’ yang dipercayai dalang utama sindiket tersebut bersama lima lagi ahli sindiket.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi yang licik dengan menawarkan khidmat ‘joki’ bagi warga asing yang tidak sihat atau ‘unfit’ untuk menjalani saringan kesihatan.

“Sindiket akan memalsukan dokumen dengan mengubah suai pasport menggunakan maklumat peribadi pelanggan tetapi meletakkan gambar ahli sindiket. Ahli sindiket kemudiannya akan hadir ke klinik untuk menjalani pemeriksaan FOMEMA bagi pihak pelanggan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM250 bagi setiap pasport palsu dan urusan saringan kesihatan.

“Kegiatan ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan berselindung di sebalik kediaman mewah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu, JIM turut menyita 73 naskhah pasport pelbagai negara yang disyaki palsu termasuk pasport Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Indonesia dan Bangladesh, serta borang FOMEMA, komputer, dan peralatan pemalsuan,”katanya.

Katanya, semakan awal mendapati empat suspek, termasuk dalang utama, melakukan kesalahan tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lagi tidak memiliki dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

“Semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top