Nottingham: Harapan Nottingham Forest untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerima tamparan hebat selepas sekadar seri 2-2 menentang Leicester City yang sudah tersingkir dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Anak buah Nuno Espirito Santo bermula perlahan dan dihukum seawal permainan apabila Conor Coady menyambar bola muntah untuk meletakkan Leicester di depan.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan sembilan minit sebelum Morgan Gibbs-White menyamakan kedudukan menerusi tandukan padu hasil sepakan percuma.
Forest tampil lebih agresif selepas rehat dan berjaya mendahului menerusi Chris Wood yang menanduk masuk hantaran lintang untuk gol ke-20 peribadinya musim ini.
Namun, segalanya berubah di penghujung perlawanan apabila Jamie Vardy mencipta peluang untuk Facundo Buonanotte menyumbat gol penyamaan.
Forest gagal mencari jaringan kemenangan dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata, sekaligus jatuh ke tangga ketujuh, satu mata di belakang Chelsea di kedudukan kelima.
Leicester kekal di tangga ke-19, di bawah Ipswich Town berdasarkan perbezaan jaringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




