Impian miliki 'six-pack' musnah, perut wanita berkedut akibat kegagalan prosedur sedut lemak

Impian miliki 'six-pack' musnah, perut wanita berkedut akibat kegagalan prosedur sedut lemak

Bangkok: Impian seorang wanita Thailand untuk mendapatkan bentuk perut berotot bertukar menjadi mimpi ngeri selepas prosedur sedutan lemak yang dijalaninya menyebabkan bahagian berkenaan rosak dan berkedut, sekali gus mendorongnya mengambil tindakan undang-undang terhadap klinik terbabit, lapor The Thaiger.

Mangsa berusia 44 tahun yang hanya dikenali sebagai Ying mendapatkan bantuan Yayasan Saimai Survive selepas membelanjakan lebih 100,000 baht (kira-kira RM12,300) untuk prosedur berkenaan. Dia mendakwa hasilnya jauh berbeza daripada iklan yang dipaparkan klinik itu di media sosial.

Ying berkata, dia pada mulanya tertarik dengan promosi sedutan lemak pada harga 39,999 baht (kira-kira RM4,900) sebelum bersetuju menjalani prosedur berkenaan kerana percaya klinik itu mempunyai reputasi baik.

Bagaimanapun, dia mendakwa kakitangan klinik memintanya membayar tambahan 70,000 baht (kira-kira RM8,600) sejurus sebelum pembedahan selain memberi amaran perutnya akan menjadi kendur dan tidak rata jika enggan menjalani rawatan tambahan.

Dalam keadaan tertekan, Ying bersetuju membayar caj berkenaan. Namun, selepas pembedahan, dia mendapati perutnya bengkak, tidak rata dan tidak menyerupai bentuk yang dijanjikan.

Ying kemudian mempersoalkan hasil berkenaan kepada doktor yang melakukan pembedahan tetapi mendakwa doktor itu tetap menganggap prosedur berkenaan berjaya.

Ying berkata, dia berulang kali menghubungi klinik terbabit bagi mendapatkan penyelesaian, namun kakitangan klinik itu kemudian berhenti memberikan maklum balas dan enggan bertanggungjawab. Dia turut mendakwa pihak klinik bertindak memadam ulasan negatif yang dimuat naiknya di Facebook serta platform media sosial lain.

Ying kemudian mendapatkan pandangan doktor di klinik lain yang memaklumkan keadaan perutnya memerlukan pembedahan pembetulan dengan anggaran kos kira-kira 300,000 baht (kira-kira RM37,000) dan Ying kembali ke klinik asal untuk menuntut ganti rugi bagi kos rawatan pembetulan itu bersama peguamnya.

Namun, doktor yang melakukan pembedahan didakwa tetap menganggap prosedur itu berjaya dan enggan bertanggungjawab selain mendakwa Ying sudah menandatangani dokumen yang mengakui hasil pembedahan.

Doktor itu juga dilaporkan menawarkan rawatan tambahan untuk membaiki keadaan perutnya tetapi Ying menolak kerana tidak lagi mempercayai klinik berkenaan.

Pada masa sama, Ying turut mencabar pihak klinik menyiarkan gambar perutnya di media sosial rasmi mereka jika benar-benar yakin pembedahan itu berjaya namun, cabarannya tidak dilayan selain mendakwa beberapa bekas pelanggan lain menghubunginya dan mendakwa mengalami masalah sama selepas menjalani prosedur di klinik itu.

Yayasan Saimai Survive memaklumkan pihaknya merancang membawa kes itu kepada Pejabat Lembaga Perlindungan Pengguna, Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan dan Majlis Perubatan Thailand untuk tindakan lanjut selain menggesa siasatan terhadap lesen operasi klinik serta lesen perubatan doktor yang melakukan pembedahan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top