Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pusat perubatan pertama di Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di dunia iaitu Abbott AVEIRâ„¢DR.
Pakar Perunding Kanan dan Pengarah Klinikal Intervensi Elektrofisiologi dan Peranti Boleh Diimplan Datuk Dr Azlan Hussin berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen IJN dalam menetapkan piawaian baharu untuk menjadi peneraju rawatan jantung di Malaysia dan serantau.
“Perentak jantung dwiruang tanpa wayar ini bakal memperbaiki penjagaan pesakit sedia ada dan mencipta peluang untuk merawat lebih ramai pesakit, termasuk kanak-kanak.
“Dengan pemansuhan penggunaan wayar dan poket pembedahan, sistem perentak jantung baharu ini mengurangkan risiko komplikasi seperti jangkitan, wayar tercabut, atau salur darah tersumbat,” katanya pada sidang media di IJN, di sini, semalam.
Beliau berkata, komplikasi jangka panjang lazimnya antara satu hingga dua peratus, atau dalam sesetengah kes – ia lebih rendah berbanding perentak jantung konvensional.
Setakat ini, 18 pesakit sudah menerima peranti baharu ini, dengan implan pertama dilaksanakan pada 27 Mei lalu, hasil pengalaman lebih sedekad IJN dalam teknologi perentak jantung tanpa wayar, menyaksikan hampir 900 pesakit sudah menjalani prosedur melibatkan teknologi baharu itu.
Dr Azlan berkata, sistem AVEIRâ„¢ DR menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk tempoh prosedur lebih singkat yang lazimnya antara 20 minit hingga sejam, bergantung kepada keadaan jantung pesakit.
“Sistem itu juga direka untuk menyediakan analisis rentakan masa nyata, membolehkan pakar mengesahkan penempatan peranti yang betul semasa prosedur sebelum implantasi ke dalam ruang jantung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, penggunaan teknologi baharu menyebabkan kos awal bagi prosedur ini agak tinggi.
“Sama seperti teknologi baharu yang lain, kos awal memang agak tinggi. Namun, caj di IJN jauh lebih rendah berbanding kebanyakan hospital swasta,” katanya.
Mengenai sama ada hospital lain di Malaysia mampu melaksanakan prosedur itu, Dr Mohamed Ezani berkata, perkara ini bukan hanya berkaitan menyediakan perkhidmatan, tetapi memerlukan kepakaran dan infrastruktur yang sesuai.
“Masyarakat perlu tahu bahawa ini bukan sekadar soal perniagaan. Ia memerlukan kepakaran klinikal, teknologi canggih dan kemudahan yang mencukupi, dan semua ini boleh didapati di IJN.
“Di IJN, inovasi sekadar mengenai teknologi baharu, tetapi tentang mencipta impak yang bermakna.
“Prosedur implantasi AVEIRâ„¢ DR ini satu lonjakan besar dalam penjagaan kesihatan jantung sekali gus mengukuhkan peranan kami sebagai peneraju serantau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd