Sektor koperasi cergas

Sektor koperasi cergas

am@hmetro.com.my

Melaka: Sebanyak 16,284 koperasi di seluruh negara terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang setakat ini.

Pencapaian ini bermakna hampir satu perlima daripada populasi Malaysia adalah anggota koperasi sebagai satu entiti ekonomi yang mampan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, dengan usia gerakan koperasi mencecah 103 tahun pada tahun ini, pencapaian dipamerkan amat memberangsangkan.

“Gerakan koperasi negara juga mencatatkan perolehan RM68.1 bilion, antara kejayaan terbesar gerakan koperasi yang mencerminkan kepercayaan dan penerimaan masyarakat terhadap model koperasi sebagai platform pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Kita menetapkan sasaran perolehan RM60 billion pada akhir tahun 2025, namun ini ia berjaya dicapai lebih awal pada tahun lalu iaitu RM64.56 billion.

“Dalam masa sama, kejayaan gerakan koperasi menceburi pelbagai sektor ekonomi berjaya meningkatkan pengumpulan modal syer dan yuran kepada RM18.3 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM173.3 bilion,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah Shoo Chin dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Ewon berkata, bagi memperkasa gerakan koperasi yang berdaya maju, kerajaan menyediakan insentif peruntukan RM100 juta setiap tahun bermula 2023 sehingga 2025 menerusi Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM).

“Kerajaan juga memperuntukkan RM2 juta di bawah program SE.RASI untuk menggalak koperasi sebagai perusahaan sosial, manakala RM2 juta di bawah Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) serta Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) sebanyak RM2.63 juta,” katanya.

Sementara itu, pada sidang medianya, Ewon berkata, lebih 32,000 pengunjung direkodkan setakat hari kedua HKN’25 dan jumlah itu dijangka meningkat pada hari terakhir semalam.

“Selain itu, dalam tempoh dua hari juga semua pempamer kalangan koperasi yang terbabit berjaya menjana jualan berjumlah RM800,000.

“Selain jualan, saya amat berharap menerusi penganjuran HKN ini orang ramai terutama usahawan mendapat akses lengkap kepada maklumat program-program yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan yang mengambil bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata, Kementeriannya (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini sedang giat melaksanakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan koperasi di seluruh negara bagi menggubal Akta Koperasi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).

Menurutnya, penggubalan akta berkenaan yang dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini bertujuan menambah baik akta sedia ada sesuai dengan keadaan dan cabaran ekonomi global hari ini.”

“Objektif akta ini pertama, untuk meliberalisasikan gerakan koperasi dan keduanya, untuk memperkasakan SKM sebagai badan agensi kawal selia kepada koperasi di negara ini.

“Dengan keadaan dan cabaran masa kini, ia menuntut koperasi untuk mengadaptasi kepada perubahan perusahaan, cara berniaga yang menuntut satu kawalan perundangan yang perlu kita tambah baik,” katanya.

Beliau berkata, sesi libat urus dilaksanakan sejak tahun lalu dan pihaknya pergi ke beberapa negeri bagi mengumpulan pandangan daripada semua pihak berkaitan koperasi.

“Pada minggu hadapan saya akan ke Sarawak untuk berjumpa pemain sektor koperasi untuk mendengar pandangan dan maklum balas mereka.

“Sebelum ini kita sudah adakan di Sabah, Pulau Pinang dan beberapa tempat lain dan saya berharap dapat membentangkannya pada sidang Parlimen hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf pada sidang media sama berkata, Melaka berhasrat menjadi negeri rintis yang melatih dan membina model koperasi masa depan.

Ujarnya, setakat 31 Disember 2024, sebanyak 504 koperasi berdaftar di bawah SKM Cawangan Negeri Melaka dengan keanggotaan 172,690 orang manakala jumlah perolehan koperasi mencecah 181 juta ringgit, meningkat RM24.76 juta berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, dari segi modal syer, RM107.05 juta berjaya dikumpulkan oleh koperasi di Melaka manakala nilai aset keseluruhan melonjak kepada RM598.66 juta.

“Ini menunjukkan sektor koperasi bergerak cergas di negeri ini. Insya-Allah dengan kerjasama KUSKOP, kita akan membangunkan dan melihat peluang yang boleh diketengahkan,” katanya.

HKN’25 yang bermula Jumaat lalu membabitkan 242 reruai pameran oleh pelbagai pihak termasuk agensi di bawah KUSKOP dengan pengisian termasuk program Jom Masuk IPT dan Jom Cari Kerja, jualan trak manakan, pameran produk dan perkhidmatan gerakan koperasi seluruh Malaysia dan Co-op Tourism Fair.

Turut diadakan Forum Perdana Ehwal Islam, Jualan Mega MADANI Koperasi Usahawan (JMKU) dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi barang-barang keperluan asas harian.

Selain itu, 10 anugerah turut disampaikan kepada koperasi yang mempamerkan prestasi cemerlang meliputi Anugerah Koperasi Terbaik Malaysia 2025, Anugerah Aktiviti Koperasi 2025, Anugerah Koperasi Harapan 2025 dan Anugerah Koperasi Premier 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top