Bomba buat halangan air sekat asid tumpah

Bomba buat halangan air sekat asid tumpah

am@hmetro.com.my

Kuantan: Bomba membuat halangan air bagi menyekat tumpahan asid mengalir ke laluan utama jalan raya selepas sebuah lori tangki membawa muatan cecair asid hidroklorik terbalik di Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Jambatan Cherating, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.32 pagi yang memaklumkan sebuah lori membawa muatan kira-kira 24 tan asid hidroklorik dari Pasir Gudang, Johor ke Kemaman, Terengganu terbabas dan terbalik.

Katanya, akibat kemalangan itu, berlaku kebocoran pada penutup atas tangki muatan menyebabkan kira-kira 1,000 liter cecair asid tumpah dan mengalir ke dalam kawasan paya bakau berhampiran.

“Pemandu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kemaman, Terengganu untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JBPM sudah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak syarikat berkaitan untuk memindahkan bahan terbabit.

Katanya, operasi masih berjalan dan menunggu pihak yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat 1 tengah hari ini, operasi masih berjalan dengan kerja-kerja pemindahan asid daripada tangki yang terbalik kepada lori tangki gentian.

“Selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), operasi turut dibantu anggota bersama jentera tangki air dari BBP Kuantan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top