mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hasil jualan sesetengah perniagaan didakwa merosot antara 20 hingga 30 peratus sejak beberapa bulan lalu apabila peniaga berdepan peningkatan kos bahan mentah dan operasi.
Situasi itu dikaitkan dengan gangguan rantaian bekalan global susulan konflik Asia Barat serta tekanan inflasi yang masih dirasai ketika ini.
Pemilik Restoran MarQaz, Adam Ibrahim, 37, berkata, kenaikan harga bahan api dan tekanan inflasi turut memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan sehingga menjejaskan kos operasi perniagaan dan aliran tunainya apabila
bekalan bahan mentah menunjukkan trend peningkatan sejak Ramadan lalu.
Katanya, dalam tempoh kira-kira dua bulan kebelakangan ini terutama sejak Mei, dia sendiri memantau harga bahan mentah dengan lebih teliti kerana kenaikannya semakin ketara.
“Kalau dahulu kami banyak bergantung kepada satu pembekal sahaja, kini saya membandingkan harga dan pecahkan pembelian kepada beberapa sumber untuk mendapatkan tawaran terbaik.
“Jika ada perbezaan 20 atau 30 sen pun saya sanggup pergi ke pembekal yang lebih murah kerana besar perbezaannya yang boleh mendatangkan penjimatan.
“Contohnya ayam ada masa saya beli daripada pembekal pasar ayam kadangkala pasar raya besar kerana harganya lebih murah kirq-kira RM7 ke RM8 sekilogram,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Adam berkata, beberapa bahan import termasuk produk sejuk beku seperti daging antara yang menunjukkan peningkatan harga lebih ketara sejak konflik di Asia Barat tercetus.
“Jika sebelum ini kos bahan mentah sekitar 40 peratus daripada kos operasi, sekarang meningkat kepada kira-kira 50 peratus walaupun jumlah jualan hampir sama.
“Situasi semasa juga menyebabkan perniagaan saya semakin merosot sehingga 20 peratus sejak beberapa bulan lalu memandangkan pelanggan lebih berhati-hati berbelanja,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga dia turut mengurangkan tiga pekerja daripada keseluruhan 20 pekerja yang bekerja secara dua syif.
“Langkah itu saya ambil lebih awal kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih mencabar sekiranya kos terus meningkat.
“Bulan lalu saya saja terpaksa mencairkan aset untuk menampung beberapa komitmen perniagaan yang terjejas.
“Namun, setakat ini, saya masih cuba mengelakkan kenaikan harga makanan dan minuman kerana bimbang akan memberi kesan kepada pelanggan,” katanya.
Adam berharap, kerajaan dapat terus memantau harga barangan dan mengambil tindakan terhadap sebarang kenaikan melampau bagi mengurangkan beban ditanggung peniaga serta pengguna.
Sementara itu, peniaga sayur, Suhaili Mohd Ali, 54, berkata, beberapa jenis sayur dan bahan asas masakan menunjukkan peningkatan harga sejak bulan lalu.
“Contohnya daun sup yang sebelum ini sekitar RM8 hingga RM10 sekilogram kini mencecah RM14 sekilogram manakala ketumbar pula sebelum ini antara RM15 hingga RM18 sekilogram tetapi sekarang naik sehingga RM23 sekilogram.
“Harga cili besar juga meningkat daripada RM7 hingga RM8 sekilogram kepada RM12 hingga RM14 sekilogram ketika ini.
“Harga tomato pula sebelum ini antara RM3 hingga RM4 sekilogram tetapi kini mencecah RM6 sekilogram manakala bayam, sawi dan kangkung juga menunjukkan kenaikan sekitar 20 peratus berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurut Suhaili, pembekal memaklumkan kenaikan harga itu berpunca daripada kekurangan bekalan bagi beberapa produk seperti cili import selain peningkatan kos bahan api dan logistik.
Katanya, situasi itu bukan sahaja memberi tekanan kepada peniaga, malah turut mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna yang merosot sejak tahun lalu dan semakin ketara ketika ini.
“Dulu hujung minggu terutama Sabtu dan Ahad memang ramai pelanggan datang membeli, tetapi sekarang kadang-kadang suasananya macam hari biasa.
“Hasil jualan turut menunjukkan penurunan sekitar 20 hingga 30 peratus sejak beberapa bulan lalu akibat pengurangan jumlah pelanggan,” katanya.
Suhaili berharap pihak berkaitan dapat terus memantau harga bekalan terutama produk import selain menggalakkan pengeluaran hasil pertanian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar negara.
“Kalau lebih banyak produk seperti halia, lobak dan cili padi dapat dihasilkan dalam negara, mungkin kita dapat mengurangkan kos dan pengguna juga tidak terlalu terbeban apabila berlaku gangguan bekalan dari luar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




