bhbiz@nstp.com.my
PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.1 peratus pada Februari 2021 kepada 122.5 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan IHP keseluruhan didorong kenaikan indeks Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.6 peratus); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.4 peratus); Minuman Alkohol & Tembakau (0.7 peratus); Kesihatan (0.7 peratus); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraaan Isi Rumah (0.3 peratus); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1 peratus) dan Pendidikan
(0.1 peratus).
“Indeks terbabit menyumbang 50.7 peratus kepada keseluruhan wajaran,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Mohd Uzir berkata, daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 326 item menunjukkan peningkatan pada Februari 2021.
Sebaliknya, beliau berkata, 147 item mencatatkan penurunan manakala 79 item tidak berubah.
“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 201 item, 79 item menurun dan 16 item tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan Lama.
“Bagaimanapun, Pengangkutan menurun 2.0 peratus kepada 111.6 berbanding 113.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kumpulan ini menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, indeks Perumahan, Air, Elektrik,
Gas & Bahan Api Lain turut menunjukkan penurunan 0.8 peratus dan diikuti oleh Pakaian & Kasut (-0.4 peratus) dan Restoran & Hotel (-0.3 peratus).
Sementara itu, katanya, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari menurun 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Bagi perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.3 peratus berbanding Januari 2021.
“Peningkatan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (2.3 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.2 peratus) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.2 peratus),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd