NEW DELHI – India maju setapak lagi apabila melancarkan kereta api berkuasa hidrogen pertamanya pada Jumaat, menyertai sekumpulan kecil negara yang sedang menguji teknologi tersebut sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam pengangkutan rel dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memodenkan salah satu rangkaian kereta api terbesar di dunia di samping mengurangkan pelepasan karbon.
Kereta api terdiri daripada 10 gerabak itu beroperasi di laluan sepanjang 89 kilometer antara Jind dan Sonipat di negeri utara Haryana dengan menggunakan sistem pendorongan sel bahan api hidrogen berkapasiti 1,200 kilowatt.
Sistem tersebut disifatkan sebagai yang paling berkuasa di dunia untuk sebuah kereta api.
Kereta api hidrogen menggunakan sel bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui gabungan hidrogen dan oksigen dengan hanya menghasilkan air serta wap sebagai pelepasan.
“Ia merupakan satu lagi langkah penting ke arah menjadikan India sebagai negara lebih berdikari dan memperkukuh pembangunan mampan,” kata Perdana Menteri, Narendra Modi ketika merasmikan perjalanan sulung kereta api berkenaan menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Kementerian Kereta Api India, kereta api itu dibangunkan menerusi kepakaran tempatan, namun beberapa komponen utama seperti sel bahan api masih perlu diimport.
Kementerian itu turut merasmikan kemudahan penyimpanan dan pengisian semula hidrogen terbesar di negara itu di Jind dengan kapasiti kira-kira 3,000 kilogram bagi menyokong operasi kereta api berkuasa hidrogen.
Projek perintis tersebut menelan kos lebih tinggi kira-kira AS$12 juta (RM49 juta) berbanding perkhidmatan kereta api konvensional yang setara. Kos keseluruhannya dijangka menurun apabila teknologi itu semakin berkembang.
India kini menyertai negara lebih hebat seperti Jerman, Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS) yang sedang menguji atau mengendalikan kereta api berkuasa hidrogen.
Sistem pengangkutan di New Delhi itu telah mengalami perubahan besar sejak kereta api wap penumpang pertama negara itu dilancarkan dari Mumbai pada 1853.
Sejak beberapa tahun lalu, India turut menyalurkan pelaburan bernilai berbilion dolar bagi menaik taraf infrastruktur, meningkatkan keselamatan serta memperluas kapasiti rangkaian rel.
Menurut data rasmi, rangkaian besar itu membawa 7.41 bilion penumpang dan 1.67 bilion tan kargo pada tahun lalu
India juga memperkenalkan kereta api Vande Bharat yang direka dalam negara yang berupaya mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer sejam (km/j).
Pada masa sama, negara berpopulasi lebih 1.47 bilion itu sedang membina laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama menggunakan teknologi Shinkansen dari Jepun.
Kereta api laju yang mampu memecut pada kelajuan maksimum sehingga 320km/j itu dijangka mula beroperasi di laluan pertamanya pada 2027. – AFP



