Individu bergejala patut ke CAC terdekat

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai di Selangor supaya memilih lokasi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terdekat, bagi mengelak kesesakan di Stadium Melawati Shah Alam.

Menerusi perkongsian di Twitternya, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 12 lagi CAC di negeri itu yang boleh dikunjungi orang ramai, iaitu masing-masing satu di daerah Klang dan Hulu Selangor serta 10 di daerah Gombak.

Berdasarkan infografik dikongsi, CAC daerah Klang terletak di Dewan Sukan Klang (Dewan Sri Andalas) sementara CAC daerah Hulu Selangor di Klinik Desa Ulu Yam Lama.

Selain itu, di daerah Gombak, CAC yang boleh dikunjungi ialah Klinik Kesihatan (KK) Kuang; KK Batu 8; KK AU2; KK Hulu Kelang; KK Taman Ehsan; KK Batu Arang; KK Sungai Buloh; KK Selayang Baru; KK Rawang dan KK Gombak Setia. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd