Individu didakwa dibuli di kem tentera masih belum tampil – Utusan Digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PETALING JAYA: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, individu yang mendakwa adiknya dibuli di sebuah kem tentera masih belum tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

Sehubungan itu beliau turut meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi di luar terutama di media sosial.

Katanya, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes buli.

“Tuan punya badan dari posting awal tak tampil. Tapi ada perkara lain dibangkitkan netizen di luar sana dan saya telah minta Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz buat siasatan secara peribadi sendiri.

“Dalam hal ini apa yang dipanjangkan kepada kita akan disiasat. Akan tetapi jangan kita dakwa mereka yang tidak berdosa dan jangan kita terikut apa yang kita baca di luar sana. Seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar mesej seorang individu yang dimuat naik melalui Twitter @pedoqpop, mendakwa adiknya iaitu seorang anggota tentera yang tinggal dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior.