PETALING JAYA: “Ya Allah, sampainya hati mereka. Semoga Allah permudahkan urusan kalian lima beradik.”
Demikian respons penyanyi, Shila Amzah yang tersentuh dengan luahan seorang individu yang mengakui lagu terbaharunya, Coretan Anak berkait rapat dengan kisah hidupnya.
Menerusi sebuah perkongsian di Threads, individu tersebut menyatakan bait lirik lagu itu hampir 100 peratus merungkai kepayahan hidupnya bersama empat adik-beradik yang lain setelah ibu bapanya berpisah.
Lebih memilukan, individu itu menyifatkan kelima-lima mereka turut diabaikan oleh ibu bapa yang sanggup membawa haluan sendiri tanpa memikirkan kebajikan dan tanggungjawab terhadap anak.
“Awak tahu lagu Coretan Anan ini 99 peratus berkait rapat dengan hidup kami lima beradik. Abah dah menghilangkan diri sejak mama failkan cerai. Abah tak ada perempuan lain, cuma abah tak bertanggungjawab.
“Mama pula? Lari tinggalkan kami sebulan lepas jatuh talak. Tiada khabar berita dari keduanya. cuma masing masing dah bahagia dengan pasangan baru. Bulan 10 ini pula genap setahun kami hidup lima beradik dalam keadaan mak ayah yang hidup tapi mati,” tulis individu tersebut.
Pemilik akaun tersebut meluahkan isi hatinya itu selepas Shila memuat naik salah satu rangkap di dalam lagu yang baru dilancarkan baru-baru ini.




