Indonesia bawa keluar rakyat dari Sudan

Indonesia bawa keluar rakyat dari Sudan

JAKARTA: Seramai 1,209 rakyat Indonesia dibawa keluar dari Sudan berikutan pertempuran yang semakin meruncing di negara itu.

Pengarah Perlindungan Warga Negara dan Badan Undang-undang Kementerian Luar, Judha Nugraha menjelaskan, pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera memindahkan warga Indonesia yang tinggal di Sudan.

Langkah ini diambil ekoran konflik bersenjata yang berlaku antara tentera Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang semakin bertambah buruk dengan angka kematian melebihi 400 orang.

“Kerajaan Indonesia terus berusaha untuk mempersiapkan pemindahan. Koordinasi dengan PBB telah dilakukan. 

“Mohon doa semua agar proses berjalan lancar dan selamat,” kata Judha dalam pesanan ringkas kepada wartawan petang semalam.

Judha menjelaskan bahawa beberapa misi asing di Sudan juga sudah dijalankan bagi mempercepat proses membawa keluar rakyat negara itu yang kebanyakan merupakan pelajar yang tinggal di Khartoum.

Sebelum ini, Menteri Luar, Retno Marsudi menggesa Majlis Keselamatan (PBB) segera mengadakan mesyuarat tergempar berhubung konflik di Sudan berikutan keadaan di negara itu yang dilihat tidak bertambah baik.

Retno berkata, ketika ini status keselamatan di Sudan sudah berada di tahap bahaya dan Pasukan Perlindungan Warganegara Indonesia dari Kedutaan Besar negara itu di Khartoum sudah berjaya membawa keluar 43 rakyatnya.-AGENSI