JAKARTA – Indonesia mengerahkan ribuan anggota tentera ke ibu kota bagi memperketat kawalan keselamatan ketika negara itu berdepan kemelut politik susulan skandal pengintipan telefon yang didakwa mempunyai unsur pengkhianatan.
Perkembangan itu berlaku pada Rabu, hari sama Presiden Prabowo Subianto memecat Ketua Turus beliau, Listyo Sigit Prabowo yang ditahan bersama dua pegawai kanan polis lain berhubung dakwaan kegiatan pencurian maklumat komunikasi.
Jurucakap tentera laut, Tunggul berkata, pengerahan pasukan tentera itu bertujuan memastikan kestabilan dan keselamatan negara terus terpelihara.
“Penempatan mereka turut berkaitan latihan ketenteraan yang bakal berlangsung di kawasan berhampiran Jakarta,” ujarnya.
Kehadiran anggota tentera di jalanan sekitar ibu kota bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan pasukan keselamatan sering digerakkan menjelang demonstrasi antikerajaan.
Listyo yang baru dilantik beberapa minggu lalu merupakan antara tiga suspek yang kini ditahan dan disiasat pihak berkuasa
Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti secara haram itu terhadap Prabowo dan beberapa individu lain termasuk wartawan, ahli politik, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan yang tidak didedahkan identitinya sejak awal 2025.
Sementara itu, jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi menyifatkan ia sebagai tindakan melampaui batas kuasa.
“Perbuatan itu juga menjurus kepada tindakan yang boleh mengancam kepentingan dan keselamatan kepimpinan negara,” katanya.
Skandal itu tercetus ketika Prabowo berdepan tekanan politik yang semakin meningkat susulan peningkatan sentimen negatif rakyat terhadap dasar populis kerajaan yang memerlukan perbelanjaan besar.
Pada masa sama, keyakinan pelabur terhadap pentadbirannya turut terjejas ketika Indonesia berdepan cabaran menguruskan ekonomi bernilai AS$1.5 trilion (RM6.07 trilion).
Suhu politik negara itu turut meningkat sejak beberapa minggu lalu susulan keretakan hubungan antara Prabowo dengan pendahulunya, Joko Widodo atau Jokowi yang masih mempunyai pengaruh besar meskipun tidak lagi memegang jawatan.
Listyo yang pernah menjadi Ketua Polis Nasional dikenali sebagai penyokong kuat Widodo.
Prabowo memenangi Pilihan Raya Presiden pada 2024 dengan majoriti besar. Namun, sokongan terhadap kepimpinannya dilaporkan semakin merosot menjelang tahun kedua pentadbirannya berikutan kebimbangan rakyat terhadap kenaikan harga makanan dan kelemahan pelaksanaan beberapa program kerajaan termasuk inisiatif pemberian makanan percuma serta koperasi desa. – Agensi


