Indonesia bubar pasukan B17 lepas kalah kepada Malaysia

Indonesia bubar pasukan B17 lepas kalah kepada Malaysia

KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan Indonesia bawah 17 (B-17) dibubarkan semalam setelah mereka gagal melayakkan diri ke Piala Asia yang akan berlangsung tahun hadapan.

Ini kerana walaupun dianggap sebagai pasukan pilihan pada awalnya dalam Kumpulan B, pasukan itu gagal untuk membuktikannya malah mudah dibelasah Malaysia dengan keputusan 1-5  di Stadium Pakansari, Bogor kelmarin.

Kekalahan tersebut menjadikan Indonesia muncul naib juara peringkat kumpulan setelah dipintas Malaysia untuk mengutip hanya sembilan mata sahaja.

Walaupun pada asalnya pasukan itu masih lagi berpeluang untuk merebut tiket ke saingan tersebut menerusi kedudukan kedua terbaik, namun mereka gagal meraihnya apabila dua perlawanan ketika menentang Guam dan Palestin tidak dikira.

Berikutan itu, Indonesia hanya mampu mengumpul tiga mata sahaja menerusi kemenangan lalu ketika menewaskan UAE selain tumpas di tangan Malaysia.

Menurut laporan Bola.com, pengendali skuad pembangunannya iaitu Bima Sakti akan memberi fokus untuk mempersiapkan kejohanan seterusnya iaitu Asian Youth Game 2022.

Bima ditugaskan untuk membentuk barisan pelajar yang berkualiti bagi mengukuhkan pasukan sebelum kejohanan tersebut bermula.

Menurut laporan, barisan pemain yang bakal digunakan oleh Bima rata-ratanya lebih muda dan tidak bersangkut paut dengan pasukan semasa ini.

Untuk itu, semua pemain skuad B-17 itu akan dipulangkan kepada pasukan masing-masing dalam saingan Liga Indonesia.

Sebelum itu, Bima memohon maaf kepada para penyokong bola sepak Indonesia, apabila beliau gagal untuk membawa skuad kendaliannya beraksi dalam saingan Piala Asia.

Beliau sedar menerusi keputusan perlawanan semalam, ia pasti menimbulkan rasa kecewa kepada banyak pihak yang berharap mereka mampu beraksi lebih baik.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua peminat bola sepak Indonesia kerana keputusan perlawanan semalam, ianya pasti memberi rasa kecewa dan sedih buat anda semua.

“Saya menegaskan kepada para pemain untuk mereka mengambil iktibar atas kekalahan itu agar dapat dijadikan pengalaman untuk masa akan datang.

“Karier mereka untuk bergelar pemain profesional masih lagi panjang, dan sebagai jurulatih menjadi tanggungjawab saya untuk membentuk mereka,” jelas Bima. – MalaysiaGazette