Indra latih perseorangan wanita Indonesia

Indra latih perseorangan wanita Indonesia

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sentuhan Indra Wijaya nampak masih diperlukan dan kini bekas jurulatih yang pernah membimbing kem badminton negara itu dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita Indonesia.

Selepas berpisah dengan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pada November tahun lalu, Indra kembali ke Indonesia dan perkembangan terbaharu itu di kongsikan menerusi laman Twitter Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

“PBSI dengan bangga mengumumkan Indra Wijaya resmi (rasmi) sebagai kepala pelatih (ketua jurulatih) sektor tunggal putri (perseorangan wanita) bermula 1 Mac 2023,” tulis PBSI di Twitter.

Bagaimanapun, isu membabitkan jurulatih itu dengan Zii Jia belum tamat apabila dilaporkan Indra sudah menghantar surat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemain profesional negara itu atas dakwaan pelanggaran kontraknya sebagai jurulatih.

Indra hanya sempat melatih Zii Jia yang kini menghuni ranking keempat dunia selama sembilan bulan.

Di bawah sentuhan Indra, juara Seluruh England itu berjaya bergelar juara Asia selain menawan Terbuka Thailand dan muncul naib juara Terbuka Denmark.

Mengikut rekod, Indra mula bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2015 apabila ketika itu dia diberi tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki sebelum ditukarkan kepada perseorangan wanita pada 2020.

Indra turut memiliki pengalaman sebagai jurulatih perseorangan skuad badminton Korea Selatan sebelum menerima tawaran BAM.

Indra adalah bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 dan antara pemain seangkatan dengannya adalah bekas juara dunia 1995, Hariyanto Arbi selain Ardy B Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Dia adalah abang kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara beregu lelaki, Candra Wijaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top