Industri gas asli dunia: Di mana kedudukan Malaysia?

Industri gas asli dunia: Di mana kedudukan Malaysia?

Krisis geopolitik semasa membuktikan bahawa keselamatan tenaga menjadi antara faktor penting dalam menentukan kestabilan sosioekonomi sesebuah negara. Perang Rusia-Ukraine menyebabkan harga elektrik meningkat hampir 200 peratus di beberapa negara Eropah.

Negara-negara Eropah terpaksa membelanjakan trilion ringgit bagi melaksanakan pelbagai langkah kecemasan, termasuk menghidupkan semula loji janakuasa arang batu demi memastikan bekalan tenaga kekal stabil.

Ketegangan di Asia Barat pula menunjukkan bagaimana gangguan di satu laluan strategik mampu menggegarkan pasaran tenaga dunia.

Pada kemuncak krisis, harga minyak dunia melonjak kira-kira 40 peratus, manakala harga fizikal minyak mentah melebihi RM555 setong.

Krisis ini menjadi pengajaran penting bahawa sesebuah negara tidak boleh terlalu bergantung kepada satu sumber bekalan tenaga sahaja. Apabila berlaku konflik atau gangguan logistik, keseluruhan sistem bekalan tenaga menjadi rapuh dan terdedah kepada pelbagai risiko.

Dalam keadaan ini, matlamat setiap negara bukan lagi sekadar mendapatkan tenaga pada kos yang rendah, tetapi memastikan bekalan tenaga sentiasa mencukupi, stabil dan berdaya tahan.

Bagi mencapai matlamat tersebut, banyak negara meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu seperti solar dan angin. Kedua-dua sumber tenaga ini boleh dibangunkan di dalam negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga yang mudah terjejas akibat krisis geopolitik.

Namun begitu, cabaran tenaga boleh baharu masih belum selesai sepenuhnya. Walaupun kos bateri menurun dengan ketara sejak sedekad lalu, penyimpanan tenaga pada skala besar masih memerlukan pelaburan tinggi. Selain kos bateri, pembangunan sistem penyimpanan turut melibatkan kos infrastruktur grid, operasi dan integrasi dengan sistem bekalan elektrik.

Keadaan ini menyebabkan penggunaan tenaga boleh baharu perlu digabungkan dengan sumber tenaga lain yang mampu membekalkan elektrik secara konsisten sementara menunggu teknologi bateri dan grid menjadi lebih matang.

Di sinilah gas asli memainkan peranan sebagai bahan api peralihan (transition fuel). Walaupun masih tergolong sebagai bahan api fosil, gas asli menghasilkan pelepasan karbon sekitar 50 peratus lebih rendah berbanding arang batu dan 30 peratus lebih rendah daripada minyak.

Oleh itu, banyak negara melihat gas asli sebagai jambatan penting ke arah sistem tenaga yang lebih bersih tanpa menjejaskan keselamatan bekalan. Gas asli juga mempunyai kepentingan besar kepada ekonomi dunia dengan menyumbang hampir satu perempat penggunaan tenaga global.

Selain menjana elektrik, ia menjadi bahan mentah utama dalam industri petrokimia, pengeluaran baja dan pelbagai sektor pembuatan. Permintaannya dijangka terus meningkat, didorong oleh pertumbuhan pusat data, kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan penggunaan kenderaan elektrik di seluruh dunia.

Nilai ekonomi gas asli turut meningkat melalui penghasilan Liquefied Natural Gas (LNG). LNG adalah gas asli yang disejukkan sehingga menjadi cecair bagi mengurangkan isipadunya hampir 600 kali ganda, sekali gus membolehkan ia diangkut menggunakan kapal dan dipasarkan ke seluruh dunia.

Berbeza dengan penggunaan saluran paip yang terhad kepada kawasan tertentu, LNG membuka pasaran global yang lebih luas. Malaysia, melalui Petronas, merupakan antara pemain utama dalam industri LNG dunia.

Petronas mempunyai portfolio LNG melebihi 40 juta tan metrik setahun (MTPA) dan secara konsisten berada dalam kelompok lima pengeksport LNG terbesar dunia. Keupayaan ini membolehkan Petronas bukan sahaja mengeksport gas asli, malah memperoleh nilai tambah melalui pemprosesan, logistik dan perdagangan antarabangsa.

Permintaan LNG global diunjurkan meningkat daripada 422 juta tan pada 2025 kepada 650 hingga 710 juta tan menjelang 2040, dengan kira-kira 70 peratus pertumbuhan permintaan datang daripada Asia.

Dalam konteks ini, perluasan kerjasama tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan melalui Petronas merupakan langkah strategik untuk memperkukuh akses kepada antara rizab gas asli terbesar di dunia.

Perluasan ke blok baharu di Turkmenistan memberi peluang kepada Petronas meningkatkan rizab gasnya, sekali gus mengekalkan daya saing dalam pasaran LNG global bagi tempoh jangka panjang.

Perkembangan ini bukan sekadar menguntungkan Petronas, malah memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan. Petronas antara penyumbang terbesar kepada hasil negara dengan menyumbang sekitar 20 hingga 30 peratus hasil Kerajaan Persekutuan.

Prestasi Petronas yang kukuh memberikan kerajaan ruang fiskal yang lebih besar untuk membiayai pembangunan negara. Selain itu, projek tenaga berskala besar turut membuka peluang kepada syarikat tempatan serta tenaga profesional Malaysia untuk menyertai rantaian nilai industri tenaga global.

Dalam era peralihan tenaga, gas asli bukan penyelesaian akhir kepada cabaran tenaga dunia, tetapi ia merupakan komponen penting bagi memastikan peralihan kepada tenaga bersih berlaku secara realistik, stabil dan berdaya tahan.

Pengukuhan kedudukan Petronas dalam industri gas asli global merupakan pelaburan strategik yang mampu menjamin keselamatan tenaga negara serta menyokong kemakmuran ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Mohd. Iqbal Mohd. Noor ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Selangor.

Scroll to Top