Pelawak Ebby Yus meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka mengenai kata-kata pelawak dan penyampai radio, Ajak mengenai cawangan baru restoran itu bukan satu gurauan.
Memetik mStar Online, Ebby berkata dia hilang kata-kata apabila Ajak bukan saja mahu menghadiahkan cawangan restoran baru itu malah menyerahkan gaji serta keuntungan kepadanya.
“Ajak seorang rakan yang sangat baik. Saya kenal dia sudah lama sejak dia mula terlibat dalam industri,” katanya.
Sementara itu, Ebby berkata meskipun Ajak memberi kelonggaran berikutan masalah kesihatan dialaminya, namun dia akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan perniagaan tersebut.
Tambah Ebby lagi, dia juga turut teruja untuk melihat sendiri pembukaan restoran yang terletak di Pasar Seni, Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Saya mesti bertanggungjawab. Walau dia kata saya tidak perlu bersusah-payah, tetapi saya kena ambil amanah untuk uruskan perniagaan ini. Kalau boleh, hari-hari saya mahu ke kedai,”katanya.
SUMBER: mStar Online

