Houston: Siapa sangka satu mesej yang disangka penipuan di LinkedIn hampir menyebabkan Roberto Lopes terlepas peluang beraksi di Piala Dunia 2026.
Pertahanan kelahiran Ireland itu mengakui dia pada mulanya mengabaikan mesej yang dihantar Persatuan Bolasepak Cape Verde kerana menyangka ia sekadar spam di platform media sosial profesional berkenaan.
Mesej itu ditulis dalam bahasa Portugis dan tidak mendapat sebarang perhatian daripada Lopes sebelum dia menerima susulan kedua dalam bahasa Inggeris, kira-kira sembilan bulan kemudian.
“Apabila mereka menghubungi saya semula dalam bahasa Inggeris dan bertanya sama ada saya sudah mempertimbangkan tawaran itu, barulah saya melakukan perkara yang sepatutnya dibuat sejak awal.
“Saya menggunakan Google Translate untuk menterjemah mesej asal dan mendapati mereka bertanya sama ada saya berminat mewakili Cape Verde,” katanya sambil ketawa kepada Reuters.
Lopes mengakui pendekatan menerusi LinkedIn itu agak pelik, namun difahamkan persatuan berkenaan berdepan kesukaran menghubungi kelabnya ketika itu.
“Apabila saya sedar peluang itu benar-benar wujud di depan mata, saya terus memberikan komitmen sepenuhnya dan kami mula menguruskan semua dokumentasi yang diperlukan,” katanya.
Dikenali dengan panggilan ‘Pico’, pemain berusia 33 tahun itu menghabiskan keseluruhan kariernya di Liga Ireland bersama Bohemian FC dan Shamrock Rovers.
Ketika itu, dia menyangka pengalaman mewakili Ireland di peringkat bawah 19 tahun adalah detik tertinggi yang akan dikecapinya dalam bola sepak antarabangsa.
Namun, peluang mewakili negara kelahiran bapanya mengubah segala-galanya apabila dia melakukan penampilan sulung bersama Cape Verde dalam kemenangan 2-0 ke atas Togo pada 2019.
Sejak itu, Lopes menjadi tonggak utama benteng pertahanan pasukan yang semakin meningkat naik sebelum melakar sejarah layak ke Piala Dunia menerusi kemenangan 3-0 ke atas Eswatini pada Oktober lalu.
“Apabila saya menyertai skuad ini pada 2019, saya dapat rasakan kami memiliki kelompok pemain yang cukup baik.
“Kami mula mendapat keyakinan selepas bersaing dengan beberapa pasukan terbaik Afrika dan lebih ramai pemain berdarah campuran memilih untuk mewakili Cape Verde,” katanya.
Cape Verde sebelum ini turut mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di depan Mesir pada saingan Piala Negara-Negara Afrika 2023 sebelum terkandas di suku akhir.
Kini, mereka bakal memulakan cabaran Piala Dunia dalam Kumpulan H bersama Sepanyol, Arab Saudi dan Uruguay.
“Sasaran pertama kami adalah melepasi peringkat kumpulan.
“Kami tahu ia bukan tugas mudah kerana berada dalam kumpulan yang sukar, tetapi kami layak ke sini atas merit sendiri dan perlu percaya kami mampu bersaing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




