ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerima hampir 2,000 pelajar baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian peringkat diploma bagi sidang akademik 2026/2027 di kampus universiti itu di sini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 649 pelajar merupakan anak-anak daripada keluarga golongan B40, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Unimap dalam menyediakan akses pendidikan tinggi berkualiti kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Naib Canselor Unimap, Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, kemasukan pelajar baharu itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap peranan Unimap sebagai sebuah universiti teknikal yang bukan sahaja menawarkan pendidikan berkualiti, malah menjadi platform mobiliti sosial yang mampu mengubah kehidupan pelajar dan keluarga mereka.
Katanya, Unimap sentiasa komited untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan.
“Unimap sentiasa komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara melalui pelbagai inisiatif sokongan yang disediakan.
“Universiti ini juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pelajar yang memerlukan termasuk bantuan kewangan, kebajikan, kemudahan penginapan dan program pembangunan pelajar bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Kami percaya pendidikan merupakan instrumen terbaik untuk memutuskan rantaian kemiskinan,” katanya ketika ditemui pada program pendaftaran pelajar baharu tersebut.
Katanya lagi, Unimap akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran dan pembangunan diri.-UTUSAN




