Ingkar SOP: 79 individu dikompaun

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 80 individu kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 79 individu dikenakan kompaun, dan seorang lagi direman.

Katanya, kesalahan tertinggi kekal membabitkan aktiviti pusat hiburan, selain gagal menyediakan kelengkapan merekod butiran pelanggan atau tidak merekod kehadiran di premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 68,389 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 80 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, 79 individu dikompaun, manakala satu direman.

“Antara kesalahan ialah gagal menyediakan peralatan, merekod diri atau pelanggan membabitkan 26 individu, aktiviti pusat hiburan (24), tiada penjarakan fizikal (16), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (sembilan), tidak memakai pelitup muka (empat) dan lain-lain (satu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismai Sabri berkata, Operasi Benteng (Op Benteng) pula menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam, manakala enam kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 48 bot dan kapal di perairan negara melalui empat empat aktiviti penglihatan. Seramai 12 PATI turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran,” katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata, sebanyak 19,622 operasi sanitasi merangkumi 152 zon sudah dilakukan sejak 30 Mac tahun lalu, membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.

Selain itu, katanya, seramai 155,390 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu hingga semalam, dan semua ditempatkan di 80 hotel dan pusat kuarantin sementara.

© New Straits Times Press (M) Bhd