Sindiket seludup rokok di pangsapuri tumpas – Utusan Digital

KLANG: Cubaan sekumpulan individu memindahkan rokok seludup di kawasan parkir sebuah pangsapuri mewah di Puchong tidak berhasil apabila dicekup polis, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 9 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang itu membawa kepada rampasan rokok yang dianggarkan bernilai RM166,504.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya sebelum itu membuat intipan selama dua jam selepas mengesan tujuh kenderaan mencurigakan di kondominium berkenaan.

Katanya, hasil pemerhatian mendapati beberapa individu sedang memindahkan kotak berwarna coklat dari sebuah van ke kereta.

“Ketika serbuan, sebuah kenderaan jenis Toyota Prado berwarna gelap berjaya melarikan diri dengan melanggar palang parkir itu.

“Namun, kita berjaya menahan lapan lelaki berusia 19 hingga 33 tahun dan merampas enam kenderaan bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rosman, pemeriksaan pihaknya ke atas lima daripada kenderaan itu turut menemukan kotak berisi 21,000 batang rokok.

“Selain itu, sebanyak 14 telefon bimbit pelbagai jenama dirampas bagi membantu siasatan.

“Semua kereta yang dirampas iaitu Proton Person, Honda Jazz, Toyota Vios, Hyundai Avante, Toyota Camry dan Toyota Hiace Panel Van,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Rosman meminta orang ramai terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang supaya kegiatan berkenaan dapat dibanteras habis-habisan. -UTUSAN ONLINE