'Ini jenazah kawan ayah'

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: “Ini bukan jenazah bapa, sebaliknya kawannya yang turut sama ke laut,” kata anak kepada tekong bot, Jaafar Sulong, 66, nelayan yang dilaporkan hilang bersama rakannya semalam.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata demikian ketika hadir membuat pengecaman mayat di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri di Pulau Kambing, hari ini.

Akuinya, berdasarkan tanda bengkak pada kepala, dia adalah kawan yang sentiasa bersama bapanya ke laut.

“Ini mayat Pok Din atau nama sebenarnya Baharudin Abdullah, 47, dari Ajil, Kuala Berang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata mayat mangsa ditemui nelayan tempatan yang ternampak satu objek terapung di laut ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), kira-kira jam 1.00 tengah hari tadi.

Mayat mangsa yang ditemui pada jarak 17 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang, dibawa ke jeti Maritim oleh bot maritim Pengawal 16 dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

“Pihak polis sudah menghubungi ahli keluarga mangsa untuk proses pengecaman,” katanya.

Bot dinaiki kedua-dua mangsa disyaki mengalami kerosakan enjin di perairan Kuala Terengganu sejak semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata, operasi mencari dan menyelamat dua lagi nelayan hilang iaitu Jaafar dan Wan Mohd Sufian bin Wan Abdul Rahman, 34, akan diteruskan esok.

Jelasnya, Wan Mohd Sufian disyaki hilang di laut selepas bot mangsa ditemui nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, pagi tadi.

Terdahulu, Muhammad Suffi berkata, tiga nelayan dilaporkan hilang ketika memancing di perairan Kuala Terengganu dalam dua kejadian berasingan, semalam dan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd