am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Siasatan polis mendapati pelbagai faktor boleh mendorong berlakunya kes pecah rumah di Kampung Melayu Majidee di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima tiga laporan berkaitan pecah rumah di kawasan berkenaan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 25 Jun lalu.
Katanya, antara faktor ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kediaman yang mendorong penjenayah berasa ‘tidak dipantau’.
“Kami juga mendapati penduduk kawasan berkenaan tidak aktif melaporkan pergerakan mencurigakan, selain faktor penagih dadah mencari sumber kewangan.
“Selain itu, pintu rumah juga tidak mempunyai jeriji besi, selak dan kunci pintu telah rosak dan tidak diganti. Tiada juga kunci tambahan selain ada kediaman yang membiarkan anak kunci digantung di pintu belakang rumah.
“Kebanyakan rumah di situ pula masih menggunakan tingkap narco yang mudah dibuka manakala belakang rumah kurang pencahayaan serta tidak diwujudkan skim rondaan sukarelawan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk Kampung Melayu Majidee yang terganggu dengan jenayah pecah rumah hingga mengancam keselamatan mereka.
Menurut Raub, dalam tiga kes dilaporkan, satu kes berlaku antara jam 4 petang hingga 12 tengah malam, manakala dua kes berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 8 pagi.
Katanya, modus operandi utama yang dikesan dalam kes pecah rumah adalah suspek akan menceroboh kediaman melalui pintu hadapan dan sasaran utama adalah barangan mudah alih seperti telefon, komputer riba, barang kemas dan wang tunai.
“Kita mendapati, kawasan hotspot di kampung berkenaan adalah Jalan Budiman, Jalan Sahabat, Jalan Merdeka, Jalan Muafakat dan Jalan Utama. Kawasan-kawasan ini adalah kawasan tumpuan kerana mempunyai banyak akses keluar masuk, memudahkan suspek melarikan diri.
“Kita masih dalam usaha mengesan suspek,” jelasnya yang menasihati penduduk untuk memastikan rumah sentiasa dikunci dengan selamat setiap kali keluar rumah dan memasang lampu sensor dan CCTV di kawasan pintu masuk utama.
Selain itu, katanya, sebaiknya penduduk mewujudkan kumpulan WhatsApp komuniti untuk berkongsi maklumat mencurigakan selain laporkan segera kepada balai polis berhampiran jika melihat kelibat individu mencurigakan.
“Muat turun aplikasi VSP PDRM untuk memaklumkan pihak polis jika meninggalkan rumah semasa musim perayaan dan elakkan menyimpan wang atau barang berharga dalam rumah tanpa langkah keselamatan tambahan seperti peti besi,” katanya.
Raub berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan keselamatan komuniti melalui rondaan proaktif, risikan berfokus dan kerjasama dua hala bersama penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd