Taman Negara Indonesia perkenal gelang tangan jejak pendaki

Taman Negara Indonesia perkenal gelang tangan jejak pendaki

Jakarta: Pendaki di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Indonesia diwajibkan memakai gelang tangan penjejak bagi tujuan keselamatan, lapor Xinhua.

Gelang yang dikenali sebagai peranti pengecaman frekuensi radio (RFID), mengandungi cip mini dan antena yang menghantar isyarat kepada menara penerima yang ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang laluan pendakian, kata Pegawai Perhubungan Awam taman itu, Endrip Wahyutama, yang berpangkalan di Kabupaten Malang, Wilayah Jawa Timur, pada Isnin.

Gunung Semeru, yang terletak di Wilayah Jawa Timur, antara gunung berapi aktif di Indonesia. Menurut jurucakap itu, penggunaan gelang tangan ini bermula Jun lepas.

“Dengan gelang ini, kami dapat menjejak lokasi pendaki. Aktiviti pendakian di kawasan Semeru masih melibatkan risiko seperti sesat, jatuh, atau bahkan hilang tanpa dikesan,” kata Wahyutama.

Inisiatif ini diperkenalkan susulan kejadian baru-baru ini melibatkan pendaki warga Brazil, Juliana Marins, yang maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 600 meter di Gunung Rinjani, Wilayah Nusa Tenggara Barat pada 21 Jun.

Indonesia mempunyai 127 gunung berapi aktif, termasuk Gunung Semeru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top