Ini satu penghormatan, sumber inspirasi buat rakyat

Ini satu penghormatan, sumber inspirasi buat rakyat

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Saya amat mengharapkan kehadiran saya menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia dan satu penghormatan dapat melakukannya di hadapan Yang di-Pertuan Agong,” kata Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Beliau melakar sejarah menjadi PTU pertama mengetuai persembahan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya hari ini.

Muhamad Norazlan berkata, dari sudut perasaan, sudah pasti beliau berasa amat bangga.

“Berbangga bukan pada diri saya tetapi berbangga dengan warga udara yang memberikan komitmen tinggi, mengerah sepenuh tenaga di bawah sinaran panas mentari menyiapkan dan menerbangkan pesawat dengan penuh semangat.

“Saya juga amat mengharapkan kehadiran saya menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, sebagai ketua, bukan hanya sekadar memberi arahan sahaja tetapi ketua juga harus mampu melaksanakan tugas sebagaimana yang diarahkan.

“Membawa semua pasukan udara di hadapan Yang di-Pertuan Agong adalah satu penghormatan.

“Kami semua amat berbangga kerana diberi peluang untuk melakukannya,” katanya.

Muhamad Norazlan yang dilantik sebagai PTU ke-21 pada Jun lalu, membuktikan kemampuannya menerbangkan pesawat tempur super maneuverable dwienjin Su-30MKM mendahului formasi udara yang menampilkan 30 aset udara negara.

Ia termasuk pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top