Kuala Lumpur: Bank Rakyat mempergiat usaha mendorong syarikat Malaysia berkembang ke luar negara melalui inisiatif Bank Rakyat Bizmatch: Make Malaysian Businesses Great yang diadakan bersempena dengan Forum Nikkei 2026 di Tokyo, Jepun.
Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan pertumbuhan dan pengantarabangsaan perniagaan Malaysia.
“Platform padanan perniagaan strategik ini menghimpunkan tujuh syarikat Malaysia yang terlibat serta pemilik perniagaan, pemimpin industri, pelabur dan rakan strategik dari Jepun dan seluruh Asia,” kata bank itu.
Hadir sama pada acara itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Shahril Mohd Shariff.
Platform itu turut menyasar untuk memupuk kerjasama antarabangsa, memudahkan akses pasaran serta meneroka peluang rentas sempadan dalam sektor pertumbuhan tinggi, menurut Bank Rakyat.
“Inisiatif ‘Bank Rakyat Bizmatch’ membuktikan komitmen berterusan bank dalam menyokong dasar kerajaan untuk memperkukuh pembangunan keusahawanan, memperluas peluang perdagangan antarabangsa dan mempercepat daya saing perniagaan tempatan di peringkat global.
“Usaha itu turut seiring dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) serta memajukan agenda ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’,” jelas Bank Rakyat.
Menurut kenyataan itu, Sim berkata beliau yakin perniagaan Jepun akan melihat syarikat pemula niaga teknologi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia sebagai rakan strategik dalam inovasi bersama, bukan sekadar vendor tempatan.
“Melalui inisiatif BizMatch, kita secara aktif mempelawa rakan Jepun mendalami ekosistem keusahawanan Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




