KUALA LUMPUR: Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bakal menawarkan 600,000 peluang pekerjaan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, inisiatif yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabru ini.
“Kita akan menganjurkan Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 siri pertama pada tahun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Karnival ini membabitkan 50 majikan dengan lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan.
“Selain itu, terdapat aktiviti seperti kaunseling kerjaya, sesi temu duga bersama majikan, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs dan sebagainya,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Agenda Awani bertajuk ‘Ketahanan Ekonomi Keluarga Malaysia’ terbitan Astro Awani, hari ini.
Inisiatif JaminKerja adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).
Ia membabitkan tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.
Tengku Zafrul berkata, pada tahun lalu, kerajaan berjaya menjana hampir 560,000 peluang pekerjaan melebihi sasaran awal sebanyak 500,000 yang sekali gus membantu menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran.
Bagi Insentif Penggajian JaminKerja, beliau berkata, permohonan dibuka mulai 17 Januari lalu, hingga 30 Jun ini yang boleh dibuat melalui laman web PERKESO.
Selain itu, katanya, Program MySTEP akan dilanjutkan pada tahun ini dengan 80,000 peluang pekerjaan disasarkan.
“Ini adalah program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja,” katanya sambil menambah sebanyak 61,000 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi program itu yang melepasi sasaran 50,000 pada tahun lalu.
Beliau berkata, kerajaan juga turut menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran serta 5,000 kursus akan ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Antara inisiatif akan dilaksanakan termasuk program ‘place and train’ (latihan dan penempatan) pekerjaan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, JaminKerja turut menyediakan pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran, termasuk program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri.
Katanya, keutamaan juga diberi kepada kemahiran digital, contohnya program Global Online Workforce (GLOW) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“JaminKerja turut menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan tumpuan seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan banduan dengan pembabitan pelbagai agensi berkaitan termasuk Majlis Pembangunan Sumber Manusia (HRDC), Kementerian Pengajian Tinggi , Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MDEC,” katanya.
Sementara itu, tengku Zafrul berkata, sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2022 untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai inisiatif akan dilaksanakan kementerian serta agensi berkaitan.
“Justeru, sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama belia kerana TVET terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, MoF dan kerajaan sentiasa responsif dalam memastikan seluruh Keluarga Malaysia dan komuniti perniagaan disokong sebaik mungkin, terutama dalam memperkukuhkan pemulihan ekonomi negara yang semakin jelas. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




