am@hmetro.com.my
Tawau: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan sesetengah pihak menyalahgunakan media sosial untuk menyebar fitnah, mengaibkan individu serta mengeluarkan ancaman jenayah sebagai keterlaluan.
Beliau berkata, antara insiden terbaharu membabitkan ugutan bunuh terhadap Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu yang menjadi saksi pertama dalam inkues kematian remaja Zara Qairina, hingga membawa kepada penahanan seorang bekas guru besar di Semporna, Sabah.
“Ini sudah keterlaluan. Kita berhak bersuara tetapi ada had dan batasnya. Tidak boleh sampai memfitnah atau mengugut bunuh orang lain sehingga melanggar undang-undang.
“Jika berlaku sebarang pelanggaran, sebagai contoh yang amat saya kesali, seorang bekas guru besar di Semporna ditangkap kerana menyebarkan kenyataan berbaur ugutan jenayah di media sosial, yang menggesa supaya Dr Jessie Hiu, saksi pertama dalam inkues kematian arwah Zara, dibunuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Hari Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran PRIME peringkat Negeri Sabah, Pusat Sebarang Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sungai Imam, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengesan lebih 40 kandungan palsu dan jelik berkait isu 3R (agama, perkauman dan Raja) yang tular termasuk ketika insiden seorang wanita naik ke pentas utama bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan Hari Kebangsaan lalu.
“Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta dua individu lain telah dipanggil kerana menyebarkan berita palsu.
“Akaun palsu yang digunakan untuk menyebar fitnah juga dipadam melalui tindakan MCMC,” katanya.
Terdahulu pada program itu, beliau merasmikan Unit Prime kedua negara di Kampung Sungai Imam, di sini, selepas unit pertama dilancarkan di Cyberjaya dua bulan lalu.
Menurutnya, inisiatif itu akan digerakkan di seluruh Semenanjung dan Sabah bagi memastikan komuniti termasuk pasukan keselamatan serta media mendapat capaian internet ketika berdepan situasi bencana.
Tambahnya, selain dilengkapi antena bergerak, unit itu turut menyediakan dron berteknologi bersama pembesar suara bagi membolehkan mangsa yang terputus hubungan mendapat akses internet dan menerima arahan terus daripada pasukan penyelamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




