Inokom lancar Paint Shop 3 bernilai RM300 juta

Inokom lancar Paint Shop 3 bernilai RM300 juta

MAMPU meningkatkan jumlah kapasiti pengecatan kepada 100,000 badan kenderaan setahun, pelancaran Paint Shop 3 (PS3), menambah keupayaan pengeluaran yang signifikan kepada operasi Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom), hab pemasangan automotif terkemuka di Malaysia.

Inokom merupakan anak syarikat Sime Darby Berhad (Sime) di bawah Divisyen Motors.

Pengarah Inokom Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Ben Yeoh berkata, kemudahan pengecatan baharu, PS3 merupakan antara pelaburan pemasangan automotif terbesar Sime setakat ini, dengan nilai kira-kira RM300 juta.

Menurutnya, PS3 dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja Malaysia, mencerminkan keyakinan Sime terhadap industri automotif serantau dan keupayaan tenaga kerja tempatan.

“Pelaburan ini bertujuan untuk meletakkan Inokom sebagai rakan pemasangan pilihan bagi ekosistem automotif tempatan dan serantau, di samping mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing.

“Inokom terus berkembang seiring dengan Dasar Automotif Nasional Malaysia. Bermula sebagai sebahagian daripada aspirasi pembangunan industri automotif negara, kami telah membangun menjadi rakan pemasangan yang dipercayai oleh jenama automotif global.

“PS3 mencerminkan komitmen berterusan kami untuk melabur dalam pembangunan keupayaan tempatan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan masa depan industri automotif Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Inokom lancar Paint Shop 3 bernilai RM300 juta

PS3 berkeupayaan meningkatkan jumlah kapasiti pengecatan kepada 100,000 badan kenderaan setahun.

Terdahulu, pelancaran PS3 disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

PS3 menambah keupayaan pengeluaran yang signifikan kepada operasi Inokom. Berdasarkan operasi dua syif, kemudahan ini direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun pada kadar 15 unit sejam, selain mempunyai keupayaan mengecat komponen plastik.

Dengan penambahan PS3, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan di Inokom kini meningkat kepada 100,000 badan kenderaan bercat setahun.

Kemudahan tersebut menyokong pelbagai model kenderaan dan menawarkan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta memenuhi keperluan masa depan.

Pengembangan berkenaan meningkatkan kesiapsiagaan Inokom untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat sambil mengekalkan standard kualiti dan operasi yang tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perniagaan Pemasangan dan Strategik Sime Motors, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, PS3 merupakan penambahbaikan penting kepada ekosistem pemasangan Inokom.

“Kemudahan ini meningkatkan kapasiti pengecatan, menambah fleksibiliti pengeluaran dan memperkukuh keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.

“Direka dengan automasi canggih, kesediaan penggunaan cat berasaskan air pada masa hadapan serta ciri-ciri kelestarian, PS3 membolehkan Inokom menyokong program kenderaan masa hadapan sambil mengekalkan standard tinggi dari segi kualiti, kecekapan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Scroll to Top