saufi@mediaprima.com.my
Cincin sebagai ‘penjejak’ kesihatan pengguna. Itu inovasi yang dilaksanakan oleh Samsung menerusi pengenalan Galaxy Ring yang pertama diperkenalkan tahun lalu.
Inovasi Galaxy Ring berkenaan menempatkan Samsung sebagai pengeluar peranti pintar teknologi yang inovatif serta memudahkan pengguna.
Menerusi Galaxy Ring berkenaan, pelbagai kawalan boleh dilaksanakan hanya menggunakan dua jari di samping penawaran ekosistem Samsung yang menyeluruh.
Dibina daripada titanium gred tinggi, Galaxy Ring ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Titanium Black, Silver dan Gold dengan berat antara 2.3 hingga 3 gram.
Ketebalan hanya 2.6 milimeter (mm) dan lebar 7 mm menjadikannya hampir tidak terasa ketika dipakai.
Reka bentuk tirus (concave) membantu mengurangkan calar, manakala bekas pengecas lutsinar persis kotak fon telinga tanpa wayar dilengkapi bateri terbina untuk pengecasan mudah.
Cincin pintar ini menerima penarafan IP68 dan 10ATM, membolehkan ia digunakan ketika berenang atau mandi.
Ia turut dilengkapi pelbagai sensor termasuk ‘accelerometer’, pengesan kadar denyutan jantung (PPG), pengukur oksigen dalam darah (SpO) dan sensor suhu kulit.
Pengecas menyokong sambungan USB-C serta pengecasan tanpa wayar Qi, dan dilengkapi lampu LED penunjuk bateri (Wired).
Samsung menyatakan Galaxy Ring mampu bertahan sehingga tujuh hari dengan penggunaan biasa, bergantung kepada saiz cincin.
Fungsi yang ditawarkan termasuk pemantauan tidur, pengesanan aktiviti secara automatik, bacaan kadar denyutan jantung, SpO, suhu kulit, skor tenaga harian, serta pengurusan kitaran haid.
Ciri kawalan pergerakan seperti ‘double-pinch’ membolehkan pengguna mengambil gambar atau mematikan penggera, namun hanya berfungsi pada telefon Galaxy dengan One UI 6.1 ke atas.
Menerusi reka bentuk ringan, ketahanan tinggi dan integrasi ekosistem yang kukuh, Galaxy Ring dilihat sebagai tambahan menarik untuk pengguna peranti Galaxy.
© New Straits Times Press (M) Bhd

