am@hmetro.com.my
Klang: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) kembali meneruskan misi kebajikan dengan menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta komuniti setempat di Masjid Jamek Cina Muslim Klang, di sini, baru-baru ini.
Inisiatif itu menjadi lambang kerjasama strategik antara pihak media dan institusi kewangan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara lebih berkesan, selain memperkukuh peranan media sebagai penghubung antara korporat dan masyarakat.
Pada program berkenaan, sebanyak 120 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan asas diserahkan kepada komuniti sekitar Klang sebagai tanda keprihatinan.
Selain itu, AFFIN ISLAMIC turut menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM2,000 kepada lapan usahawan OKU bagi menyokong kelangsungan perniagaan mereka, serta RM5,000 kepada Masjid Jamek Cina Muslim Klang untuk tujuan pengurusan dan kebajikan.
Pengerusi AFFIN ISLAMIC, Musa Abdul Malek berkata, penyertaan pihaknya dalam program berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan untuk mendampingi masyarakat secara inklusif.
Menurutnya, program itu amat bermakna kerana membawa mesej bahawa setiap insan, termasuk golongan OKU, berhak diberikan peluang untuk berdikari dan membina kehidupan lebih baik.
“Program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi golongan OKU melalui sumbangan bagi menyokong dan memperkasa perniagaan kecil yang mereka usahakan.
“Sebagai institusi perbankan Islam, kami percaya peranan kami tidak terhad kepada penyediaan perkhidmatan kewangan semata-mata, tetapi juga sebagai pemangkin kesejahteraan sosial dan pembangunan ummah.
“Melalui inisiatif CSR seperti ini, termasuk penyerahan sumbangan dan Kotak Rezeki, kami menyalurkan bantuan secara berhemah dan bersasar selaras dengan prinsip maqasid syariah yang menitikberatkan kebajikan manusia,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan AFFIN, Mohd Faiz Rahim dan Pengarang Kumpulan merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit.
Turut hadir Ketua Jabatan Syariah AFFIN ISLAMIC, Syed Mohamad Nasir; Pengurus Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Ahmad Mujahid Muhammad Zan; Pengarah Strategik Korporat, Majlis Agama Islam Selangor, Zaharudin Salim; Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas, Lembaga Zakat Selangor, Ariffa Ariffin; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek dan Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Musa berkata, kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Masjid Jamek Cina Muslim Klang serta rakan media seperti Harian Metro membuktikan keberkesanan pendekatan kolaboratif dalam menyantuni masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek, malah meninggalkan kesan dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan saling menyokong,” katanya.
Husain dalam ucapannya berkata, pihaknya berbesar hati dapat meneruskan sinergi bersama AFFIN ISLAMIC dalam misi kemasyarakatan itu.
Menurutnya, seiring dengan slogan ‘Rasai Berita Sebenar’, Harian Metro yang kini berusia 35 tahun bukan sekadar penyampai maklumat, malah berperanan sebagai ejen perubahan yang peka terhadap denyut nadi masyarakat.
“Harian Metro sentiasa komited menjadi penghubung antara media dan sektor korporat bagi mencerminkan semangat kebersamaan dalam membina masyarakat yang prihatin.
“Kami percaya sinergi ini adalah kunci dalam memastikan bantuan bukan sahaja bersifat sementara, tetapi mampu memberi impak positif jangka panjang kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Mujahid berkata, program berkenaan memberi manfaat besar kepada golongan OKU dan asnaf yang berada di bawah seliaan masjid berkenaan.
Beliau berkata, bantuan seperti itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka terutama dari segi keperluan harian dan kewangan.
“Program seperti ini sangat baik dan wajar diteruskan kerana ia banyak membantu golongan asnaf dan OKU yang memerlukan sokongan.
“Kami juga mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan pihak luar termasuk NGO bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



