hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Insiden seorang jurugambar menyerang dua pereka fesyen di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam dipercayai disebabkan masalah peribadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian itu pada 11 malam, semalam dan sudah menahan suspek, lelaki berusia 30 tahun di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di pipi akibat diserang suspek dan punca kejadian berlaku dipercayai kerana isu peribadi antara suspek dan mangsa.
“Kejadian membabitkan seorang jurugambar, lelaki tempatan berusia 30 tahun menyerang hingga mendatangkan kecederaan terhadap dua lelaki tempatan iaitu pereka fesyen yang berusia 53 dan 47 tahun di ruang legar aras satu hotel berkenaan.
“Turut dirampas sebuah kamera yang digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu. Satu kertas siasatan berhubung kes itu dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, suspek yang ditahan reman selama dua hari bermula hari ini akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok.
“(Tuduhan terhadap) suspek sudah kita peroleh arahan untuk dituduh esok,” katanya.
Hari ini, media melaporkan dua pereka fesyen, Razman dan Razmi cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam kejadian di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, kedua-duanya yang dikenali sebagai pereka fesyen duo, Razman Razmi yang juga pereka fesyen menghasilkan busana usahawan sensasi, Datuk Seri Vida untuk acara itu dipukul dengan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemu bual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




