Insiden kren runtuh korban 2 orang, siasatan masih dijalankan

Insiden kren runtuh korban 2 orang, siasatan masih dijalankan

am@hmetro.com.my

Pontian: Polis masih menunggu hasil siasatan bomba dan laporan penuh daripada syarikat bertanggungjawab berhubung insiden runtuhan dan kebakaran kren mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, tindakan berikutnya akan diambil selepas menerima laporan berkenaan.

Katanya, jenazah dua pekerja subkontraktor yang terkorban dalam insiden itu sudah dituntut ahli keluarga masing-masing, selepas proses bedah siasat selesai di Unit Forensik Hospital Pontian, hari ini.

Jenazah Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dituntut oleh ahli keluarga kira-kira 1 tengah hari dan dibawa pulang ke Tanah Merah, Kelantan, manakala, jenazah Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, dituntut keluarganya 45 minit kemudian dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah.

Insiden mengejutkan itu turut menyebabkan tiga pekerja subkontraktor dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, yang mana dua daripada mereka dilaporkan kritikal.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba Satu (PgKB I) Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Siasatan menjurus kepada kebakaran yang melibatkan pacuan empat roda di lokasi ketika insiden runtuhan kren berlaku.

“Operasi semalam berlangsung lebih empat jam bermula 1.32 tengah hari, yang memfokus kepada mencari dan menyelamat mangsa serta pemadaman kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top