Palace mara ke separuh akhir Liga Konferens walau tewas di Florence

Palace mara ke separuh akhir Liga Konferens walau tewas di Florence

Paris: Crystal Palace tewas 1-2 kepada Fiorentina pada aksi Khamis, namun tetap mara dengan agregat 4-2 ke separuh akhir Liga Konferens UEFA, di mana mereka bakal bertemu Shakhtar Donetsk.

Di satu lagi laluan, Strasbourg bangkit cemerlang untuk mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik dan akan menentang Rayo Vallecano.

Di Florence, Ismaila Sarr membuka jaringan buat Palace sebelum Albert Gudmundsson dan Cher Ndour menjaringkan gol bagi memberi harapan kepada kelab Itali itu.

Ia adalah malam sukar buat skuad kendalian Oliver Glasner apabila kekalahan pertama dalam enam perlawanan semua kejohanan bertambah perit selepas tonggak utama, Adam Wharton dan Maxence Lacroix, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada babak pertama.

Namun, perkara paling penting adalah kelab dari England itu kekal berpeluang menambah koleksi trofi utama pertama mereka, Piala FA yang dimenangi musim lalu, dalam penampilan sulung di pentas Eropah.

Sebelum sepak mula, Stadium Artemio Franchi bertafakur selama seminit bagi memperingati penjaga gol Alex Manninger yang meninggal dunia awal Khamis pada usia 48 tahun selepas keretanya dirempuh kereta api. Pemain Austria itu pernah beraksi secara pinjaman bersama Fiorentina pada musim 2001/02.

Sarr memberikan permulaan diinginkan Palace apabila Daniel Munoz melakukan hantaran lintang yang disudahkan dengan tandukan kencang oleh pemain Senegal itu melepasi David de Gea pada minit ke-17.

Jaringan itu menjadikan jumlah gol Sarr dalam Liga Konferens UEFA musim ini kepada tujuh gol dalam 10 penampilan.

Palace kemudian menghadiahkan sedikit ruang buat Fiorentina kembali dalam perlawanan sebelum setengah jam aksi berlangsung apabila Jaydee Canvot menjatuhkan Rolando Mandragora di dalam kotak penalti dan Gudmundsson tenang menewaskan Dean Henderson menerusi sepakan penalti untuk meletakkan tuan rumah di papan skor.

Tekanan mula dirasai pelawat dalam tempoh 10 minit awal babak kedua apabila Ndour menggegarkan penyokong tuan rumah menerusi rembatan jarak 30 meter yang menerjah ke penjuru bawah gawang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top