Insiden tembakan Tanjung Rhu: Anwar jamin siasatan rapi, telus

Insiden tembakan Tanjung Rhu: Anwar jamin siasatan rapi, telus

am@hmetro.com.my

Ipoh: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan rapi dan telus akan dilakukan berhubung insiden tembakan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, Selangor pada 24 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, siasatan itu susulan APMM didakwa menggunakan kekerasan berlebihan selepas warga asing itu dilaporkan cuba menyerang pegawai dengan parang ketika rondaan dilakukan.

Katanya, beliau tidak akan melindungi mana-mana individu yang bertindak bertentangan undang-undang.

“Pagi tadi saya sudah minta supaya laporan hasil siasatan awal disampaikan kepada pihak Kedutaan Indonesia (untuk diteliti).

“Indonesia adalah negara sahabat, saya beri jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak melindungi sesiapa.

“Kita tak mahu insiden ini mengganggu hubungan baik antara tetapi negara ini mesti ikut hukum,” katanya ketika hadir pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Kanthan Baru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berhubung insiden Kedutaan Malaysia di Jakarta dibaling telur oleh sekumpulan penunjuk perasaan, semalam, Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak membalas insiden itu supaya tidak berlarutan.

“Kita ikut hukum dan kita faham kadang-kadang kemarahan (ekoran) laporan tak bertanggungjawab yang menghangatkan suasana, menghukum tanpa fakta dan sebelum siasatan selesai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top