Jamal ingatkan Zaki usah terlalu teruja memandu kereta baharu

Jamal ingatkan Zaki usah terlalu teruja memandu kereta baharu

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sebagai seorang ayah, saya rasa kedua-dua anak saya wajar mensyukuri nikmat yang Allah bagi. Kita hanya dipinjamkan kehebatan.

“Ingat, selalu beramal dan syukuri segala nikmat yang Allah bagi dan berpada-pada. Harus berhati-hati dalam hidup kerana tak semua orang suka dengan apa yang kita capai.”

Demikian nasihat penyanyi, Datuk Jamal Abdillah kepada anaknya, Osama Yamani, 23, dan Zaki Yamani, 19, apabila meraih kejayaan dalam seni dan mampu memiliki kenderaan sendiri.

Semalam Zaki mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik di media sosial gambarnya bersama kereta jenis Mercedes-Benz AMG A Class yang dibelinya menerusi hasil titik peluh sendiri.

Jamal, 65, berkata, Zaki menghubunginya semalam memaklumkan sudah membeli kereta.

“Saya nasihatkan dia agar berhati-hati bawa kereta. Yang penting jaga keselamatan diri dan jangan terlalu teruja nanti jadi macam-macam susah, misalnya kemalangan.

“Pada masa sama, saya sifatkan perkara yang positif apabila dia dapat beli kereta sendiri. Sebagai ayah saya nampak dia dah berusaha. Ada nampak hasil titik peluh dia, dah boleh beli kereta. Ia sesuatu yang terbaik bagi saya.

“Osama pula sekarang dalam semester tiga Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). September nanti dia masuk semula sambung ambil diploma. Saya harap dia akan berjaya nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Zaki menerusi temubual dengan sebuah portal hiburan berkata, memiliki kereta mewah bukan alasan untuknya mendabik dada, sebaliknya ada tanggungjawab lebih besar menantinya.

“Semestinya saya gembira dan bangga dengan diri sendiri kerana dapat beli kereta ini. Tapi kena fikir juga tanggungjawab lebih besar selepas ini, perlulah kerja keras lagi.

“Syukur dengan apa yang saya miliki sekarang ini. Semuanya hasil titik peluh sendiri. Saya bayar guna duit hasil kerja selama ini,” katanya.

Menurutnya lagi, dia sudah lama mengidamkan kereta berkenaan dan proses untuk membeli sudah dibuat sejak Oktober tahun lalu.

Zaki kini tampil dengan tiga single iaitu Jalan Kembali, Your Habibi dan Sengketa.

Dianggarkan Mercedes-Benz AMG A Class berharga sekitar RM300,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top