
Laporan Sinar Harian mengenai tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin. Gambar kecil: Anthony Loke
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas dengan kadar segera untuk menyiasat secara menyeluruh punca kejadian tren LRT tergelincir daripada landasannya berdekatan Stesen Chan Sow Lin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya telah mengarahkan dapatan siasatan dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin dan laporan tersebut dihebahkan secara umum.
Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga diarahkan untuk mengambil tindakan hukuman yang paling maksimum terhadap Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berhubung insiden tersebut.
“Pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden ini serta-merta. Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap ‘business-as-usual’.
“Kejadian sebegini perlu dipandang serius dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana terkecuali daripada akauntabiliti insiden ini.
“Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anthony dalam masa sama menegaskan, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana yang cuai dalam tanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian pihak berkenaan.
“Kementerian melihat insiden ini sangat serius kerana kejadiannya bukan sekadar gangguan perkhidmatan biasa. Tren tergelincir landasan membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas.
“Walaupun kesemua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, MOT tetap mengambil pendirian tegas serta tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai,” ujarnya lagi.
Pada awal pagi Khamis, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, kejadian yang berpunca daripada kerosakan suis landasan itu menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak.
Pengendali pengangkutan awam itu turut mengesahkan kesahihan gambar-gambar insiden yang sedang tular melalui media sosial.



